Pendedahan berterusan mengenai kesan penggunaan telefon bimbit dan permainan dalam talian terhadap kanak-kanak serta remaja mencetuskan persoalan besar: adakah Malaysia sudah terlambat bertindak dalam melindungi generasi muda daripada kandungan digital yang tidak terkawal?
Isu ini dibangkitkan di Dewan Negara apabila Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi mengakui bahawa pendedahan awal kepada permainan dalam talian, media sosial dan kandungan digital berpotensi mempengaruhi tingkah laku agresif, disiplin serta kesihatan emosi murid bawah umur. Walaupun pelbagai garis panduan sedia ada telah diperkenalkan, realitinya penggunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak semakin sukar dibendung.
Di sekolah, larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit masih dikuatkuasakan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI). Namun, di luar pagar sekolah, kanak-kanak berada dalam ekosistem digital yang hampir tanpa tapisan , dengan akses mudah kepada permainan dalam talian, kandungan ganas, interaksi tidak selamat dan algoritma yang mendorong ketagihan skrin.
Menurut pakar pendidikan dan psikologi kanak-kanak, pendedahan berlebihan kepada permainan dalam talian — khususnya yang berunsur kompetitif dan ganas — boleh menyumbang kepada masalah tumpuan, gangguan tidur, ketagihan, serta perubahan tingkah laku. Dalam jangka panjang, ia turut dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, terutamanya dalam kalangan remaja.
Kerajaan mengakui cabaran ini dan memaklumkan bahawa kajian sedang dijalankan bagi mewujudkan mekanisme sekatan umur dan pelesenan permainan dalam talian, sejajar dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025. Akta ini mewajibkan penyedia perkhidmatan aplikasi dan kandungan dalam talian untuk mengambil langkah mencegah penyebaran kandungan memudaratkan, khususnya melibatkan kanak-kanak.
Namun, pemerhati dasar berpandangan bahawa langkah tersebut masih berada di peringkat awal dan belum cukup pantas untuk mengekang realiti semasa. Ini kerana sebahagian besar platform permainan dan media sosial beroperasi merentas sempadan, manakala penguatkuasaan bergantung kepada kerjasama syarikat teknologi global yang mempunyai kepentingan komersial besar.
Perbandingan dengan negara lain menonjolkan jurang pendekatan. China, misalnya, mengenakan had masa ketat terhadap permainan dalam talian bagi kanak-kanak bawah umur, termasuk penggunaan sistem pengesahan identiti nasional. Korea Selatan dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) pula telah lama menguatkuasakan sistem klasifikasi umur, kawalan ibu bapa yang lebih tegas, serta denda berat terhadap platform yang gagal mematuhi piawaian perlindungan kanak-kanak.
Di Malaysia, tanggungjawab sering diletakkan di bahu ibu bapa dan pihak sekolah. Walaupun peranan keluarga tidak boleh dinafikan, pakar menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak dalam era digital tidak boleh bergantung kepada kesedaran individu semata-mata, sebaliknya memerlukan rangka kawal selia nasional yang jelas, tegas dan konsisten.
Guru kini terpaksa berdepan dilema memnguruskan murid yang datang ke sekolah dengan kesan ketagihan gajet — mereka menjadi kurang fokus, mudah marah dan keletihan. Walaupun sekolah mempunyai peranan untuk melakukan intervensi melalui kaunseling dan program kesedaran, mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengawal apa yang berlaku di rumah atau di ruang maya.
Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa usaha literasi digital sedang diperkukuh melalui platform pembelajaran dan modul keselamatan siber. Pada masa yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan inisiatif pendidikan awam seperti program Klik Dengan Bijak. Namun, keberkesanan program ini sering dipersoalkan apabila kadar penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak terus meningkat seiring kemajuan teknologi.
Isu ini akhirnya membawa kepada persoalan lebih besar: siapa yang sepatutnya bertanggungjawab? Adakah ibu bapa, sekolah, platform teknologi atau kerajaan? Pemerhati berpandangan jawapannya terletak pada pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak, selaras dengan prinsip Whole of Government, Whole of Society.
Tanpa dasar yang lebih tegas dan pelaksanaan yang berkesan, kanak-kanak Malaysia berisiko membesar dalam dunia digital yang membentuk minda dan emosi mereka tanpa kawalan sewajarnya. Akibatnya mungkin tidak serta-merta kelihatan, tetapi kesannya terhadap disiplin, kesihatan mental dan kesejahteraan generasi akan datang boleh menjadi beban sosial jangka panjang.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada Malaysia perlu bertindak, tetapi sejauh mana keberanian politik dan institusi untuk bertindak lebih pantas sebelum keadaan menjadi sukar dipulihkan.