KUALA LUMPUR, 6 Februari 2025 – Dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Luar Negeri menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah (Paya Besar) mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan usaha mempercepatkan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.
Menurut Menteri Luar, Malaysia bersedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab tersebut dan menganggapnya sebagai satu peluang besar untuk negara.
“Semestinya ini merupakan peluang yang berharga buat Malaysia untuk meningkatkan profil dan imej negara, di samping memperlihatkan kepimpinan dan keupayaan Malaysia sebagai Pengerusi yang berkaliber,” katanya di Parlimen hari ini.

Tiga Keutamaan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN
Dalam sesi tersebut, Menteri Luar menjelaskan tiga keutamaan utama Malaysia dalam memacu kesatuan dan daya tahan ASEAN:
-
- Memastikan kestabilan rantau – “Malaysia akan memberi tumpuan kepada memastikan Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa. Ini akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi, dengan berlandaskan prinsip ASEAN Centrality,”
-
- Meningkatkan kerjasama ekonomi – Menteri Luar menegaskan bahawa Malaysia komited untuk merancakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta memperkukuh kerjasama dengan negara luar. “Malaysia menerajui usaha menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) bagi memastikan daya tahan ekonomi rantau ini,”
-
- Membentuk Komuniti ASEAN yang inklusif – “Malaysia akan mengutamakan usaha merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kualiti kehidupan, serta menangani perubahan iklim agar manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk kumpulan rentan,”
Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang ASEAN, Menteri Luar turut mengumumkan bahawa Malaysia akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 bersama empat Pelan Strategik ASEAN yang merangkumi aspek politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan kesalinghubungan. Beliau menyatakan keyakinan bahawa dokumen-dokumen ini akan dimuktamadkan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei 2025.
Komitmen Malaysia Dalam Keanggotaan Penuh Timor-Leste
Dalam menjawab persoalan mengenai keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, Menteri Luar menegaskan bahawa Malaysia komited untuk mempercepatkan proses tersebut. “Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memastikan isu ini menjadi salah satu keutamaan dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia akan membantu Timor-Leste dalam memenuhi 88 Instrumen Undang-Undang serta perjanjian ASEAN yang diperlukan untuk menjadi anggota penuh. “Malaysia juga telah menyumbang sebanyak USD200,000 kepada Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN bagi membantu dan memudahkan proses pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste,” ujarnya.
Menteri Luar menutup jawapan di Dewan Rakyat dengan menegaskan bahawa Malaysia akan memastikan ASEAN kekal bersatu, berdaya tahan dan relevan di peringkat global, selaras dengan visi untuk menjadikan rantau ini sebagai contoh kepada dunia.