KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal dilaksanakan semula di seluruh negara mulai tahun 2026, termasuk di Sarawak, dengan kem Rejimen 511 Askar Wataniah dipilih sebagai lokasi latihan di negeri itu.
Menteri Pertahanan dalam sesi Parlimen tempoh hari menjelaskan bahawa PLKN 3.0 akan menggabungkan 70% latihan asas ketenteraan dan 30% komponen kenegaraan bagi membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin, patriotik, dan berdaya tahan.
Dari segi pemilihan peserta, program ini terbuka kepada warganegara dan pemastautin tetap berusia antara 16 hingga 35 tahun, dengan syarat mereka berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sihat.
“Latihan asas ketenteraan akan menekankan aspek disiplin, keberanian, dan semangat kerjasama, manakala modul kenegaraan memberi fokus kepada pembentukan jati diri, patriotisme, serta perpaduan nasional,” kata Menteri Pertahanan.
Bagi PLKN Asas, remaja Malaysia yang berumur 18 tahun akan dipilih melalui proses pemilihan bersyarat oleh badan pelaksana program.
PLKN 3.0 dijangka menjadi platform penting dalam membentuk semangat kebangsaan dan kesiapsiagaan generasi muda terhadap cabaran masa depan.