Anwar Ibrahim Diberi Pengiktirafan di Persidangan Dialog Intra-Islam di Bahrain

21 Februari 2025
Sumber: Bernama

MANAMA (BAHRAIN) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa peluang untuk beliau berucap pada sesi utama Persidangan Dialog Intra-Islam (IIDC) di sini merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan penting Malaysia dalam dunia Islam.

Sebagai satu-satunya Ketua Kerajaan yang diberi penghormatan menyampaikan ucapan pada persidangan tersebut di hadapan Imam Besar Al Azhar Al Sharif, Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, serta lebih 400 ulama dan sarjana Islam dari seluruh dunia, Anwar melihat ini sebagai pengiktirafan terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam mengangkat martabat Islam.

β€œRaja Bahrain (Sheikh Hamad Isa Al Khalifa) dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif (Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb) memberi peluang (kepada saya) hadir dan memberi ucaptama pada persidangan IIDC.

β€œPersidangan ini mengundang semua tokoh Islam utama dunia dari pelbagai mazhab dan aliran untuk bermuafakat, mengelakkan perseteruan serta ketegangan, dan menerima kenyataan bahawa ada perkara yang kita berbeza pandangan, sama ada dalam teologi atau amalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menamatkan lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa. Anwar akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 5 petang waktu tempatan.

Dalam ucaptamanya di IIDC, Anwar turut membincangkan peranan penting ulama dan sarjana Islam dalam memberikan nasihat kepada kerajaan serta umat Islam secara keseluruhan.

Beliau juga menyatakan perkara ini kepada Imam Besar Al Azhar dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, semasa pertemuan mereka.

β€œBagi saya, saya beritahu kepada Imam Besar Al Azhar bahawa saya akan terus mendukung (peranan ulama) dan saya sampaikan hasrat ini juga kepada Raja Hamad supaya hasrat murni ini patut didukung.

β€œIni kerana bila para ulama dengan berani dan tegas menegur umat, menegur ulama pelampau, menegur kerajaan dan pimpinan yang tidak mematuhi semangat ini, ini satu contoh keupayaan ulama dan elit Islam yang dapat kita banggakan,” jelasnya.

Persidangan dua hari tersebut yang berakhir hari ini dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan dianjurkan bersama oleh Al Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain dan Muslim Council of Elders. Inisiatif ini adalah kesinambungan daripada usaha yang dimulakan semasa Forum Dialog Bahrain pada November 2022.

Menurut Agensi Berita Bahrain, usaha ini, yang dipelopori Imam Besar Al Azhar, bertujuan memperkukuhkan perpaduan umat Islam dan memperdalamkan dialog dalam kalangan sarjana Islam.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Malaysia Terima 24.5 Juta Pelawat Asing Sehingga Julai 2025, Pendapatan Pelancongan Cecah RM161.9 Bilion

Industri pelancongan negara terus menunjukkan momentum kukuh apabila Malaysia menerima…

BNM Turun OPR kepada 2.75% Buat Pertama Kali Sejak 2020

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2025 β€” Bank Negara Malaysia (BNM)…