Siri kali ini akan membawa pembaca meneroka beberapa bentuk kesalahan logik (logical fallacies) yang sering berlaku dalam perbahasan awam, wacana akademik, perbahasan parlimen mahupun ucapan politik. Kesalahan logik merupakan bentuk kekeliruan dalam penghujahan yang menyebabkan ia kelihatan meyakinkan secara retorik tetapi sebenarnya lemah dari segi rasional dan kandungan. Memahami dan mengenal pasti kesalahan logik adalah sangat penting kerana ia merupakan asas kepada pembangunan budaya berhujah yang rasional, beretika, dan berlandaskan fakta.
“Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘Burung Kakak Tua’, maka SPM juga patut dimansuhkan. Peperiksaan seperti UPSR untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Wajar dikembalikan.” (dirujuk sebagai hujah 1)

Pernyataan seumpama ini sering muncul dalam wacana tentang pemansuhan peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Ia membawa maksud bahawa jika peperiksaan benar-benar buruk hingga melahirkan pelajar hafalan (“burung kakak tua”), maka semua peperiksaan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga sepatutnya dimansuhkan. Oleh itu, UPSR patut dikembalikan semula.
Kesalahan Logik
Hujah ini dibina berdasarkan struktur logik deduktif dalam bentuk silogisme bersyarat apabila terdapat perkataan “kalau… maka…”. Untuk memahaminya dengan lebih tepat dan benar, ayuh kita leraikan satu persatu pernyataan di atas melalui aplikasi ilmu logik deduktif.
Hujah ini boleh disusun semula dalam bentuk silogisme berikut:
- Premis 1: Kalau peperiksaan menyebabkan pelajar menjadi ‘burung kakak tua’, semua peperiksaan mesti dimansuhkan.
- Premis 2: SPM masih dikekalkan.
- Kesimpulan: Maka peperiksaan tidak sepatutnya dimansuhkan, malah UPSR patut dikembalikan.
Sekali imbas, struktur ini kelihatan logik dan boleh diterima pakai. Namun, jika diamati dengan lebih mendalam kandungan logik ini sangat lemah. Kenapa?
Kita lihat dahulu konteks yang membawa kepada kemunculan hujah 1. Hujah ini cuba menyangkal satu pernyataan terdahulu dengan mengemukakan perbandingan dan menggunakan silogisme bersyarat untuk menunjukkan ketidaktekalan hujah. Berikut ialah pernyataan tersebut:
“Mengembalikan semula peperiksaan utama ke sistem persekolahan selepas dimansuh akan melahirkan generasi ‘burung kakak tua’ yang cemerlang atas kertas tetapi tidak mampu gunakan ilmu untuk menyumbang.” (dirujuk sebagai hujah 2)
Melihat kepada pernyataan ini semata-mata, memang boleh dikatakan ianya hujah induktif yang tidak lengkap kerana ketiadaan bukti empirikal yang kukuh diberikan untuk menunjukkan peperiksaan secara automatik menghasilkan ‘generasi burung kakak tua’. Logik ini lemah kerana ia seolah-olah menganggap peperiksaan ialah hafalan dan sekaligus menyebabkan pelajar gagal menyumbang ilmu yang dipelajari. Sedangkan terdapat faktor lain seperti pedagogi, budaya sekolah, hatta kualiti guru. Dalam ilmu logik, kelemahan ini dikenali sebagai ‘kebimbangan palsu’ (false cause).

Kendatipun begitu, hujah 2 ini walaupun lemah secara empirikal, masih wajar diterima berdasarkan kebimbangan pendidikan moden, bahawa sistem yang berasaskan peperiksaan awam, boleh menjejaskan kreativiti dan kemahiran praktikal pelajar. Ini kerana ia disokong oleh beberapa teori pedagogi kontemporari seperti “constructivism” dan Kemahiran Pembelajaran Alaf Ke-21 (PAK-21) yang menolak pembelajaran berbentuk hafalan atau ‘rote learning’.
Berbalik kepada kelemahan hujah 1, terdapat beberapa kesalahan logik yang ketara. Pertama, hujah ini menggunakan perbandingan pincang atau false analogy. Kesalahan ini berlaku apabila dua perkara yang dibandingkan sebenarnya tidak sepadan dari segi sifat atau konteks, tetapi dijadikan asas untuk membuat kesimpulan.
Membandingkan UPSR dan SPM, seolah-olah kedua-duanya mempunyai fungsi dan aplikasi yang sama adalah tidak wajar. UPSR digunakan untuk saringan awal dan mengukur asas, sedangkan SPM adalah untuk kelayakan lanjutan dan menilai kematangan akademik. Oleh itu, menyamakan keduanya sebagai sama-sama “melahirkan Burung Kakak Tua” ialah perbandingan yang tidak tepat dan cacat dari segi logik.
Kedua, hujah ini telah menyelewengkan maksud asal hujah 2 supaya lebih mudah diserang. Kritikan terhadap peperiksaan awam seperti UPSR biasanya tidak menolak peperiksaan secara total, tetapi menolak amalan peperiksaan awam yang terlalu menekankan hafalan dan gred.
Namun, hujah itu diputarbelit menjadi seolah-olah:
“Kalau begitu, semua peperiksaan termasuk SPM patut dimansuhkan.”
Itu bukan maksud asal pengkritik sistem peperiksaan. Mereka tidak menolak konsep peperiksaan, cuma bentuknya sahaja, melihat kepada kesesuaian peringkat dan objektif pendidikan. Maka, serangan dan penyelewengan sebegini merupakan kesalahan logik klasik yang dikenali sebagai straw man.
Ketiga, hujah 1 juga bermasalah kerana mewujudkan dilemma palsu atau false dichotomy yang memaksa pembaca memilih antara dua pilihan sahaja, seolah-olah tiada alternatif lain yang lebih baik. Bagaimana? Dalam kes ini, hujah 1 mewujudkan dua pilihan mutlak; samada hapuskan semua peperiksaan kerana ia “buruk”, atau, kekalkan semua peperiksaan termasuk UPSR kerana ianya “baik”. Maka hujah ini menyempitkan realiti pendidikan yang jauh lebih kompleks. tatkala wujud pendekatan penilaian lain yang boleh dirangka atau ditambahbaik bagi menyeimbangkan penguasaan ilmu dan pembentukan sahsiah pelajar. Contohnya penilaian formatif atau berterusan seperti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Ada yang mempersoal keberkesanan bentuk penilaian ini. Ya, sistem ini ada kelemahan tetapi ia tidak secara automatik membenarkan hujah bahawa peperiksaan awam adalah jalan penyelesaian.
Refleksi Retorik
Retorik populis sering menggunakan kesalahan-kesalahan logik seperti dilema palsu kerana ia mudah difahami dan kelihatan tegas, tetapi ia mengabaikan realiti yang kompleks. Dalam wacana akademik dan dasar awam, kita seharusnya mengelak daripada berfikir dalam kerangka “semua atau tiada” (all-or-nothing thinking). Semua pemegang taruh dalam apa jua isu yang dibincangkan mesti melatih diri untuk berfikir dalam spektrum yang lebih luas, bukan dalam dua sempadan bertentangan, menutup ruang penyelesaian yang lebih seimbang dan berhikmah.
Dalam zaman wacana awam yang kian rancak di media sosial dan polarisasi politik yang semakin nyata, keupayaan mengenal pasti kesalahan logik (logical fallacies) menjadi sangat kritikal. Hujah yang kelihatan mantap mungkin ternyata mengandungi kelemahan struktur yang halus dan membinasakan.
Ingatlah pesan Jalaluddin ar-Rumi tatkala beliau menyatakan “Setiap peperangan dan konflik antara manusia berlaku kerana perbezaan tentang nama atau istilah. Ia adalah bentuk kebodohan yang tidak wajar…”.
HAMKA juga pernah berpesan:
“Orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu.”
Maka jadikanlah setiap perbezaan kita sebagai rahmah dan ruang pengembangan ilmu, bukan sebagai punca untuk berpecah, apatah lagi memusnah.