Kuantan, 5 September 2025 – Seramai lebih 500 peserta termasuk pembimbing dari kalangan Orang Asli dan mualaf seluruh negeri Pahang menyertai Mahrajan ‘Ilmi Islami Peringkat Negeri Pahang 2025 yang dianjurkan buat kali ketiga oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Penganjuran edisi ketiga ini lebih meriah dengan penglibatan warga Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menyantuni komuniti Orang Asli serta golongan mualaf di negeri ini. Perkara ini menjadi satu simbol kesinambungan komitmen pelbagai pihak dalam usaha memperkasa golongan marginal di Pahang.
Yang menariknya, penyertaan dalam program ini melibatkan kumpulan sasar dari pelbagai peringkat umur termasuklah peserta termuda yang berusia hanya 10 tahun. Kehadiran besar ini menunjukkan sambutan hangat serta harapan tinggi masyarakat terhadap manfaat program yang dibawa melalui pendekatan ilmu, budaya dan ukhuwah.
Pelbagai Acara Tarik Minat Peserta
Mahrajan yang berlangsung selama tiga hari in diserikan dengan pelbagai aktiviti merangkumi pertandingan tilawah dan hafalan al-Quran, azan dan iqamat, tazkirah, nasyid serta acara sukan. Lebih istimewa, edisi kali ini melakar sejarah apabila pertandingan khutbah diperkenalkan buat julung kali, menjadikan program ini bukan sahaja platform penganjuran aktiviti agama dan budaya, malah membuka ruang kepada peserta menimba keyakinan menyampaikan mesej Islam dengan penuh hikmah, yakin dan bersesuaian dengan khalayak.
Program sebegini bukan sahaja mencungkil bakat dan menggilap potensi, malah memberi peluang kepada peserta untuk memahami Islam dengan lebih mendalam dalam suasana santai dan menyeronokkan. Selain itu, program sebegini disusun dengan cara yang interaktif dan terbuka agar menjadi platform bermanak kepada warga universiti untuk bersama-sama memainkan peranan yang lebih aktif sekali gus memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat terutamanya golongan rentan.
Cabaran dan Usaha Memartabat Komuniti
Dalam era globalisasi dan teknologi, jurang antara masyarakat umum dengan golongan rentan semakin ketara. Komuniti Orang Asli dan mualaf sering berdepan cabaran sosioekonomi, pendidikan, akses kepada ilmu agama serta keterasingan daripada arus perdana. Bagi mereka, menyesuaikan diri dalam suasana baharu selepas memeluk Islam dan menempatkan diri di celah-celah pembangunan tanpa mengorbankan identiti budaya bukanlah mudah. Sokongan dari segenap aspek adalah sangat penting.
Justeru, program seperti Mahrajan ‘Ilmi Islami menawarkan mereka ruang dan peluang untuk melihat dan dilihat, mendengar dan didengar, juga menghargai dan dihargai. Ia juga manifestasi hakikat betapa agama Islam mengiktiraf kepelbagaian latar belakang dan meraikan kelompok minoriti. Malah, Islam sangat menganjurkan agar umatnya menjadikan kepelbagaian sebagai satu elemen yang diteroka khususnya untuk tujuan taaruf.
Ikon da’ie MUIP, Ustaz Muhammad Anas Abdullah, menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab dakwah yang lebih luas, bersasar dan melibatkan sumbangan semua pihak.
“Kita mahu pastikan Orang Asli dan mualaf bukan sahaja dibimbing dalam aspek akidah dan ibadah, tetapi juga diperkasa dari sudut sosial, ekonomi dan pendidikan. Ini selari dengan visi rahmatan lil-‘alamin yang menjadi teras kepada Islam,” jelasnya
Sinergi Akademik dan Agama
Kolaborasi Pusat Asasi UIAM dan MUIP dalam menjayakan Mahrajan ini mencerminkan sinergi penting antara institusi akademik dan agama. UIAM yang membuka luas pintu kepada peserta untuk merasai keindahan taman ilmu dan budi membawa kepakaran ilmiah dan tenaga muda, manakala MUIP pula menyediakan sokongan spiritual serta jaringan komuniti dan sumber yang mengakar dalam masyarakat Pahang.
Gabungan ini amat signifikan kerana melangkaui pendekatan kebajikan semata-mata. Bahkan tumpuan utama berpusat kepada usaha pemberdayaan holistik melalui ilmu, latihan serta pembinaan jati diri Islam dan akhirnya membuka peluang kepada komuniti ini untuk lebih berdaya saing dalam kehidupan. Pastinya program pendidikan tidak formal seumpama ini dapat mengubah sudut pandang, melihat dunia dari dimensi yang lebih luas dan memberi pengalaman baharu lagi unik bukan sahaja kepada peserta tetapi juga kepada penganjur.
Ke Arah Program Mapan dan Lestari
Meskipun kejayaan penganjuran kali ini membanggakan, cabaran seterusnya ialah memastikan ia tidak menjadi acara dwi-tahunan bersifat sekali lalu. Sebaliknya, lanjutan dan susulan melalui program berterusan yang melibatkan kerajaan negeri, institusi pendidikan, badan agama, NGO dan masyarakat umum mesti dirangka dan sentiasa dilakukan.
Ini termasuklah mempertimbang dan mengadakan:
- Latihan berterusan seperti mengadakan bengkel asas fardu ain, kem ibadah, atau kursus literasi agama khusus buat komuniti sasaran.
- Pendidikan formal dan vokasional seperti menyediakan akses lebih luas kepada pendidikan berkualiti, termasuk program bimbingan akademik untuk anak-anak Orang Asli dan muallaf.
- Jaringan komuniti yang nengukuhkan hubungan antara komuniti ini dengan masyarakat arus perdana melalui program sukarelawan, mentor-mentee, dan khidmat masyarakat.
- Sokongan psikososial yang menawarkan kaunseling, bimbingan kerjaya, dan motivasi bagi membantu mereka mengatasi cabaran hidup.
Dengan pendekatan ini, Mahrajan ‘Ilmi Islami tidak akan menjadi sekadar program ulangan, sebaliknya berpotensi muncul sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang dalam membina masyarakat madani yang inklusif, berilmu, dan kalis masa hadapan.
Inisiatif murni MUIP yang dibantu oleh Pusat Asasi UIAM ini menjadi bukti nyata komitmen bersepadu dalam memperkasa golongan rentan. Semoga usaha ini membantu melahirkan generasi Orang Asli dan mualaf yang berilmu, berkeyakinan, serta berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Imam al-Ghazali pernah menegaskan:
“Ukuran sesuatu bangsa adalah sejauh mana mereka memperlakukan golongan yang lemah.”
Ungkapan ini jelas mengingatkan kita betapa kemajuan sebenar sesebuah negara tidak diukur pada ketinggian pencakar langit, tetapi pada keadilan sosial yang dimartabatkan.