PALAPES Harus Menjadi Teladan Terbaik Kepada Anak Muda

16 September 2026

Oleh: Raden Mohammad Azwan

Sebenarnya, tidak mustahil untuk sebuah program kampus pendidikan tinggi berfungsi sebagai platform pembinaan kepimpinan sivil-militer yang menghubungkan disiplin ketenteraan dengan keperluan masyarakat. Latihan yang tersusun, pendedahan kepada kerjasama awam-tentera serta pemahaman terhadap budaya operasi Angkatan Tentera Malaysia sangat berpotensi membentuk modal insan yang memahami tatacara perkhidmatan serta protokol agensi awam. Dalam konteks ini, kumpulan sasar terbaik yang mempunyai manfaat tersebut adalah pasukan pelatih PALAPES.

Dalam syarahan eksekutif kepada para pelatih PALAPES sempena pentauliahan bagi tahun 2026 pada 3 September yang lalu, Menteri Pertahanan menegaskan yang pelatih PALAPES adalah kumpulan yang berada pada satu titik unik yang menemukan dua kepentingan terbesar negara. Iaitu mereka yang berdisiplin, berdedikasi dan mempunyai keberanian yang tiada tolok bandingnya. Dan mereka yang aktif meneroka ilmu dan sarat dengan idea. Gabungan serta garapan kedua-dua kualiti unggul ini, menurut Menteri Pertahanan, menjadikan PALAPES sebagai kelompok yang mempunyai nilai tersendiri pada bangsa dan negara.

Menurut beliau, persekitaran keselamatan serantau yang berubah pantas menuntut sumber manusia pertahanan yang tangkas, celik teknologi dan mampu beroperasi dalam rangka kerjasama awam–tentera. Pendirian tersebut pastinya selari dengan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, MINDEF yang menyasarkan nisbah 1:1 antara pasukan tetap dan simpanan sebagai langkah yang dijangka meningkatkan kesiagaan.

Keadaan yang kelihatan aman tidak semestinya menjamin kestabilan pada masa hadapan. Dalam hal ini PALAPES semakin dilihat sebagai saluran strategik untuk memperluas kapasiti kepimpinan yang boleh digerakkan ketika krisis, bantuan kemanusiaan dan operasi keselamatan domestik.

Jika diselaraskan dengan keutamaan Pertahanan Menyeluruh serta pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WOGOS), PALAPES boleh mempercepat pembinaan jaringan antara universiti, pihak berkuasa tempatan, badan kebajikan dan formasi simpanan. Hasilnya ialah keupayaan mobilisasi yang lebih luas, kepelbagaian kemahiran yang lebih tersusun dan kesinambungan kepimpinan di peringkat komuniti.

Watak PALAPES

Persoalannya, apakah sebenarnya kelebihan dan kekuatan PALAPES? Pertama sekali, sudah pastilah diakui yang usia muda dan tahap pengalaman mereka masih belum cukup luas tidak akan memberi apa-apa kelebihan besar kepada negara jika tidak dimanfaatkan dengan cara yang sesuai dan betul. Namun, ini tidak sama sekali bermakna yang mereka tidak berada pada kedudukan yang layak untuk menyumbang dan memberi impak perubahan.

Saya tertarik untuk mengupas lanjut konsep 3-i yang dihujahkan oleh Menteri Pertahanan semasa syarahan eksekutif PALAPES September lalu. Menurut beliau, terdapat tiga kelebihan pelatih PALAPES sebagai orang muda iaitu ILMU, IDEA dan INSPIRASI.

Ketiga-tiga elemen yang diutarakan oleh Menteri Pertahanan ini sangat menarik dan relevan dalam dunia hari ini khususnya elemen INSPIRASI. Terdapat beberapa sebab mengapa ‘inspirasi’, seperti yang dihujahkan oleh Menteri Pertahanan menjadi elemen yang kritikal.

Pertama, kerana dunia media sosial dan trend semasa sangat mementingkan ‘vibe’, ‘icon’ dan ‘trendsetter’. Dalam pencarian contoh dan suri teladan, anak muda akan sangat mudah tergelincir sehingga mencontohi sesiapa sahaja yang dirasakan sebagai ‘cool’, ‘stylo’ dan ‘badass’. Definisi dan standard yang diletakkan akan sangat rapuh dan sentiasa dipengaruhi oleh elemen hedonisme dan populariti. Malah, dalam banyak keadaan, harta benda, wang serta keasyikan untuk hidup secara mudah dan mewah akan menjadi tarikan yang sangat berkesan.

Kedua, konteks dan ancaman pertahanan hari ini sudah banyak berubah. Kewujudan Key Opinion Leaders (KOL) akan sangat mempengaruhi cara masyarakat awam berfikir dan bertindak. Ini sekali gus menjadikan perang kognitif sebagai strategi yang sangat berbahaya dan berkesan dalam menggugat keharmonian serta kestabilan sesebuah negara.

Dalam keadaan seperti inilah, pandangan serta hujah Menteri Pertahanan berkenaan kelebihan dan kekuatan PALAPES sebagai inspirasi kepada anak muda adalah sangat tepat dan menjadi sangat kritikal.

Bakat Kepimpinan dan Disiplin Diri

PALAPES mesti menjadikan kedudukan mereka – selaku graduan yang berilmu dan dilengkapi latihan asas ketenteraan – sebagai satu tanggungjawab moral untuk menarik anak muda ke jalan kebaikan. Perlu difahami bahawa kekuatan PALAPES bermula dengan latihan disiplin ketenteraan yang ketat.

Mahasiswa melalui rejim berjadual, pematuhan hierarki arahan, serta pembinaan fizikal dan mental yang konsisten. Proses ini melatih ketepatan masa, daya tahan dan tanggungjawab kolektif sehingga terbentuk tabiat kerja yang teratur. Dari sudut kesiagaan negara, latihan sedemikian menyediakan pegawai simpanan yang boleh digerakkan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan pada masa yang sama menanam asas kepimpinan berstruktur yang mudah diterjemahkan ke organisasi awam.

Kekuatan PALAPES turut terletak pada watak dwifungsi graduannya. Mereka mempelajari doktrin ketenteraan yang menekankan arahan yang jelas dan disiplin pasukan, lalu membawa kemahiran yang sama ke ruang pentadbiran kerajaan, korporat dan masyarakat madani.

Persekitaran kampus yang pelbagai memberikan latihan sosial yang berguna untuk memimpin pasukan berbilang latar, mengurus krisis komuniti dan menyelaraskan tindak balas dengan agensi awam. Pengalaman antarabangsa juga menunjukkan corak latihan seumpama ini sering menghasilkan pemimpin yang lebih cekap menghubungkan keperluan operasi dengan keperluan masyarakat, terutamanya dalam tugasan bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana dan keselamatan komuniti.

Pemikiran Kritis dan Kemahiran Simulasi Krisis

Tidak sekadar memupuk disiplin, PALAPES sebenarnya mengasah kebolehan berfikir kritis serta membuat keputusan di bawah tekanan. Melalui latihan lapangan, perkhemahan taktikal dan simulasi peperangan, mahasiswa dilatih menilai risiko dan bertindak pantas dalam keadaan yang tidak menentu.

Semua ini selari dengan keperluan MINDEF untuk melahirkan sumber manusia yang bersedia menghadapi ancaman hibrid, sama ada bencana alam, serangan siber mahupun krisis kesihatan awam. Cabaran kontemporari jelas membuktikan bahawa kemahiran fizikal sahaja tidak memadai untuk mendepani cabaran keselamatan kontemporari. Jalinan antara keupayaan fizikal dan intelektual menjadi syarat asas dalam melahirkan pemimpin yang tahan uji.

Di Amerika Syarikat, misalnya, U.S. Army Cyber Command menerima graduan ROTC yang menggabungkan asas teknologi awam dengan strategi ketenteraan. Pada 2022, kadet ROTC daripada pelbagai universiti mengikuti latihan intensif empat minggu bersama unit siber di Fort Gordon dan Fort Meade, menjadikan persekitaran universiti sebagai medan pengujian pemikiran kritis dalam konteks peperangan digital.

Analogi ini menunjukkan bahawa apabila latihan ketenteraan kampus disandarkan kepada senario yang realistik, kebolehan menganalisis ancaman, membina penghujahan strategik dan mengkritik pendekatan operasi secara konstruktif cenderung meningkat. Atas landasan tersebut, bakat PALAPES wajar dioptimumkan.

Sumbangan kepada Kesiagaan Nasional

Yang paling penting, graduan PALAPES mesti memunculkan diri sebagai modal insan lengkap yang menyumbang secara langsung kepada kekuatan ATM sebagai pegawai simpanan dan inspirasi kepada anak muda. Aspirasi Menteri Pertahanan yang memandang tinggi para pelatih dan graduan PALAPES mesti dijadikan sebagai satu pembakar semangat untuk mendekati anak muda hari ini dengan lebih strategik.

Mereka harus menjadi ikutan, menjadi inspirasi dan menjadi contoh ke arah kebaikan.


Penulis merupakan Aktivis Pendidikan KITA Komuniti dan graduan Sains Politik dari Open University Malaysia (OUM).

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

‘Digital Desa’: Transformasi Teknologi untuk Komuniti Luar Bandar

BERA, 12 Jun 2025 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia…

Anwar Ibrahim Diberi Pengiktirafan di Persidangan Dialog Intra-Islam di Bahrain

MANAMA (BAHRAIN) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan…