Antara aspek penting pendidikan tinggi adalah kemenjadian mahasiswa. Menjadi aspirasi pendidikan tinggi negara untuk mendidik dan melahirkan generasi graduan yang bukan sahaja pintar, tetapi mempunyai ketahanan diri, disiplin serta keupayaan untuk beradaptasi dengan situasi dengan baik.
Bertitik tolak daripada perkara itu, penulis tertarik dengan salah satu jawapan semasa sesi menjawab pertanyaan lisan Dewan Rakyat baru-baru ini. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin pada 10 Julai ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jeli, menjelaskan bahawa kerajaan sedang dalam proses membuat persiapan bagi melaksanakan kembali program latihan khidmat negara yang akan dikenali sebagai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menurut beliau, dalam edisi kali ini, terdapat beberapa penambahbaikan dan format baharu. Antaranya, program berkenaan akan turut melibatkan tahap Pra-PLKN yang akan diikuti oleh pelajar tingkatan empat di sekolah masing-masing. Mereka yang berusia 17 tahun dan ke atas pula akan mengikuti Tahap Latihan Asas PLKN yang akan dikendalikan di 13 Kem Wataniah di seluruh negara atau di 20 IPTA dan beberapa politeknik masing-masing.
Menariknya, dalam penjelasan itu, beliau menyatakan bahawa pecahan modul yang akan digunakan bagi peserta 17 tahun dan ke atas atau ringkasnya para pelajar di universiti terdiri daripada 30 peratus modul kenegaraan dengan pelbagai elemen seperti patriotisme dan jati diri dan baki 70 peratus lagi adalah modul ketenteraan yang melibatkan pembelajaran di lapangan serta latihan berkumpulan.
Sebagai pensyarah yang berhadapan dengan pelajar dalam lingkungan umur yang disebutkan, saya sangat bersetuju dan berharap PLKN 3.0 ini akan benar-benar menekankan elemen kenegaraan dan ketenteraan yang dihujahkan oleh Menteri Pertahanan berkenaan dengan tegas dan berkesan.
Ini kerana tahap kematangan dan keupayaan generasi muda masa kini dalam menguruskan diri, berfikir secara kreatif dan kritis, menguruskan masa, menyelesaikan masalah dan cabaran serta bergaul dengan matang, adalah sangat membimbangkan.
• Kelesuan mahasiswa membimbangkan
Pada tahun lalu, Intelligent.com telah mengadakan kaji selidik melibatkan 1,243 pemimpin perniagaan terhadap pandangan serta pengalaman mereka yang melibatkan graduan masa kini. Dapatan kaji selidik itu mendedahkan bahawa sebahagian besar pelajar institusi pendidikan tinggi tidak berupaya untuk berdikari, tidak mempunyai disiplin diri yang baik dan dianggap tidak bersedia untuk memasuki alam pekerjaan. Pada tahun yang sama, pandangan yang sebegitu telah turut dikongsikan oleh Presiden Purdue University, Amerika Syarikat (AS), yang menyimpulkan bahawa alam pendidikan tinggi tidak benar-benar menyediakan graduan untuk berhadapan dengan kehidupan yang lebih mencabar. Sekalipun kedua-dua laporan serta pandangan itu dilakukan dengan melihat keadaan pelajar di AS, ia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan realiti di Malaysia.
Kita mengakui, keupayaan mahasiswa untuk bertindak secara matang dan mandiri adalah sesuatu yang tidak boleh diajar di dalam bilik kuliah secara formal. Ia elemen yang perlu hadir dengan pendedahan dan pengalaman hidup. Malah, ia mesti disusun agar mereka menjalani latihan atau program pengembangan potensi diri dengan cara yang merentas disiplin pengajian. Jika tidak, kita akan terus menyaksikan generasi mahasiswa yang lesu, berfikiran sempit, memberontak tanpa asas yang jelas serta mudah terpengaruh dengan aliran hidup yang tidak matang dan bermanfaat.
• Fokus pada kematangan dan pemerkasaan
Jika sebelum ini, semasa beliau mengemudi Kementerian Pendidikan Tinggi, Khaled pernah menekankan tentang fokus KPT yang mahu memberi perhatian kepada proses kematangan dan pemerkasaan mahasiswa. Perkara itu diterjemahkan melalui pindaan AUKU serta pelbagai program mahasiswa yang diserahkan pengurusannya kepada mahasiswa sepenuhnya sebagai salah satu kaedah memberi pendedahan awal kepada mahasiswa untuk meningkatkan disiplin diri dan kematangan pemikiran mereka.
Jadi, adalah sangat diharapkan sekiranya beliau yang kini memegang amanah sebagai Menteri Pertahanan, dapat memastikan yang PLKN ini digunakan secara strategik untuk terus membantu menyemai kematangan dan ketahanan diri golongan muda kita. Tekankanlah aspek-aspek keutuhan dan ketahanan diri sama ada dari segi rohani dan mental. Ia adalah perkara yang sangat kritikal. Malah, tidak keterlaluan sekiranya PLKN ini menerapkan juga latihan serta pendedahan kepada kemahiran menguruskan tekanan dan keupayaan berhadapan dengan krisis. Nilai ini ternyata sangat diperlukan dalam diri generasi masa kini.
PLKN adalah satu pelaburan besar kerajaan dalam memastikan generasi muda kita menjadi golongan pewaris yang cintakan negara serta berketahanan. Ia mesti dilaksanakan dengan cara terbaik, strategik dan dengan mengutamakan modul serta pengisian yang paling menguntungkan negara dan golongan muda.
Penulis Pensyarah Jabatan Undang-Undang, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)