JDT Hanya Perlu Kekal Fokus Untuk Raih Hatrik Quadruple

2 Februari 2025
Sumber: Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke final Piala Malaysia untuk kali kelima berturut-turut, pasukan bola sepak terkemuka tempatan itu kini hanya selangkah lagi untuk mencipta rekod baharu, iaitu ‘hatrik quadruple’.

Setelah menjuarai empat trofi dalam dua musim berturut-turut sebelum ini, hanya dua trofi lagi yang perlu dimenangi oleh pasukan bimbingan Hector Bidoglio, yang telah memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Piala FA musim ini.

Selain itu, mereka juga berada pada posisi yang kukuh dan selesa untuk merangkul kejuaraan Liga Super kali ke-11 berturut-turut, mendahului saingan liga dengan 13 mata di depan pencabar terdekat, Selangor FC (SFC), yang kini berada di tangga kedua.

Memandangkan perkembangan semasa pasukan ini, apakah halangan yang boleh menghalang JDT daripada sekali lagi menyapu bersih semua trofi yang dipertandingkan untuk pasukan utama pada musim 2024/25?

Legenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman, menyatakan bahawa satu-satunya faktor yang boleh menghalang JDT daripada memenangi dua trofi lagi pada musim ini adalah JDT itu sendiri.

“Jika kita lihat pada situasi sekarang, sukar untuk menafikan bahawa JDT berpeluang besar untuk menjuarai Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, dan hanya satu perlawanan lagi diperlukan untuk mereka memenangi Piala Malaysia. Oleh itu, perkara yang boleh menghalang JDT daripada menang adalah mereka sendiri. Sebagai contoh, sekiranya mereka mula selesa dengan kedudukan semasa sehingga bermain sambil lewa atau hilang fokus sepenuhnya, terlalu yakin menentang pasukan lawan.

Penjaring gol bagi pasukan JDT setakat 1 Febuari 2025. Sumber: johorsoutherntiger.com.my

“Tetapi melihat persiapan mereka sekarang, kita tahu perkara itu (bermain sambil lewa) tiada dalam kamus mereka, kerana apabila mereka turun (beraksi), mereka memberikan 100 peratus tanpa mengira siapa lawan mereka. Mereka tidak akan anggap jika pasukan itu kuat, mereka perlu beri 100 peratus, dan jika lawan lemah, mereka bermain ala kadar. Semua lawan dilayan sama rata dan JDT tidak akan berbelas kasihan dalam memastikan kemenangan. Mereka tidak akan berpuas hati jika menurunkan kualiti permainan menentang lawan yang berbeza-beza. Itulah sebabnya kita dapat melihat kemajuan demi kemajuan dalam JDT, yang seterusnya membawa mereka meraih pelbagai kejayaan hingga ke hari ini,” kata Rizal.

Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.- Berita Harian

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Nga Kor Ming (DAP) Dituduh Ugut Wartawan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (DAP), didakwa…

Fattah Amin & Amira Othman Nikah 14 September Ini – Lamaran Kejutan di Pentas

Kuala Lumpur, 8 September 2025 – Pelakon dan penyanyi Fattah…