Brunei Darussalam kekal sebagai satu-satunya negara dalam ASEAN yang tidak mengenakan cukai pendapatan individu mahupun cukai nilai tambah (VAT / GST) terhadap rakyat dan penduduknya.
Model ekonomi unik ini terus bertahan berkat kekayaan sumber hidrokarbon yang menjadikan negara itu antara paling makmur di rantau Asia Tenggara dengan KDNK per kapita tertinggi di ASEAN, menurut laporan Seasia News.
Model Ekonomi Tanpa Cukai
Pendapatan kerajaan Brunei hampir sepenuhnya dijana daripada hasil eksport minyak mentah dan gas asli, melalui:
- Royalti tenaga,
- Cukai korporat sektor minyak dan gas, dan
- Duti perdagangan antarabangsa.
Sumber ini membolehkan Brunei membiayai keseluruhan sistem pentadbiran, pendidikan, dan kesihatan secara percuma atau bersubsidi tinggi, tanpa mengenakan sebarang cukai langsung ke atas pendapatan rakyat.
Cukai Korporat Rendah, Tapi Fokus Tenaga Tinggi
Walaupun rakyat menikmati 0% cukai individu, syarikat yang beroperasi di Brunei dikenakan kadar cukai korporat sebanyak 18.5%, antara yang terendah di rantau ini.
Namun, bagi syarikat dalam sektor tenaga — terutamanya minyak dan gas — kadar cukai yang lebih tinggi dikenakan kerana sektor itu merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Pendapatan inilah yang menampung subsidi, pembangunan sosial, dan projek nasional kerajaan Brunei.
Ketergantungan dan Risiko Harga Minyak Dunia
Kebergantungan tinggi terhadap hasil minyak menjadikan Brunei rentan terhadap turun naik harga tenaga global. Apabila harga minyak dunia jatuh, pendapatan negara turut terjejas, menimbulkan cabaran terhadap kesinambungan model ekonomi bebas cukai tersebut.
Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan Brunei kini berusaha memperluas ekonomi ke sektor bukan tenaga, termasuk:
- Kewangan Islam & pelaburan antarabangsa,
- Produk halal & industri makanan,
- Pelancongan ekologi dan budaya.
“Matlamat jangka panjang ialah menjadikan Brunei ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi, bukan hanya sumber asli,” kata Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei dalam kenyataan terdahulu. (brudirect.com)
Daya Tarikan kepada Pelabur & Tenaga Kerja Asing
Model tanpa cukai ini menjadikan Brunei sangat menarik untuk pelabur asing dan profesional antarabangsa, terutama dalam sektor tenaga, kewangan dan teknologi.
Namun, pemerhati ekonomi berpendapat peluang sebenar di Brunei masih terikat kepada industri minyak dan gas, dengan sektor lain belum menunjukkan lonjakan yang ketara.
“Brunei ialah syurga fiskal dalam erti kata sebenar, namun ekonominya masih bergantung kepada satu sumber utama,” ujar penganalisis Asia Tenggara dari Seasia Research Network.
Analisis Naratif.Online: Antara Keuntungan dan Ketergantungan
Kejayaan Brunei mengurus kewangan tanpa cukai rakyat menjadikannya model ekonomi yang jarang ditemui di dunia Islam moden. Jika sebelum ini rujukan lebih terarah kepada negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain, namun Brunei adalah negara yang terus mengekalkan momentum pendekatan tanpa cukai tersebut. Namun, ketergantungan tunggal kepada minyak mewujudkan risiko struktur jangka panjang — terutama apabila dunia beralih ke arah tenaga hijau dan sumber boleh baharu.
Dalam konteks ASEAN, model Brunei memperlihatkan perbandingan jelas antara negara kaya sumber dan negara berasaskan industri seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam, yang perlu mengenakan cukai untuk membiayai pembangunan domestik.