WELLINGTON: Kerajaan New Zealand telah melonggarkan syarat visa pelawat, membolehkan pelancong bekerja secara jarak jauh untuk majikan luar negara ketika berada di negara itu. Langkah ini diambil bagi merangsang sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi, lapor Xinhua.
Menurut Menteri Pertumbuhan Ekonomi Nicola Willis, New Zealand kini lebih mesra kepada golongan “nomad digital” iaitu individu yang bekerja secara jarak jauh sambil melancong, seperti pakar IT. Perkara ini dijangka meningkatkan daya tarikan New Zealand sebagai destinasi pelancongan.
Willis turut menekankan bahawa pelancongan merupakan penyumbang eksport kedua terbesar New Zealand, dengan pendapatan hampir 11 bilion dolar NZ (US$6.26 bilion) serta menyediakan kira-kira 200,000 pekerjaan.
“Perubahan ini akan membolehkan pelawat melanjutkan tempoh penginapan mereka, yang secara tidak langsung akan meningkatkan perbelanjaan mereka di negara ini,” jelas Menteri Imigresen Erica Stanford.
Visa pelawat kini memberikan kebenaran kepada individu untuk bekerja secara jarak jauh bagi majikan luar negara ketika bercuti di New Zealand. Namun, Stanford mengingatkan bahawa mereka yang bekerja lebih daripada 90 hari perlu mengambil kira kemungkinan implikasi cukai.
Menteri Pelancongan Louise Upston pula menyatakan bahawa banyak negara kini menawarkan visa khas untuk nomad digital, dan New Zealand mahu menjadi pilihan utama bagi golongan ini. Beliau menambah bahawa cara bekerja yang semakin fleksibel dan digital menjadikan New Zealand lokasi ideal untuk mereka.
“Berbanding pelawat biasa, pekerja jarak jauh antarabangsa berpotensi menghabiskan lebih banyak masa dan wang di sini, termasuk semasa musim sepi pelancongan,” katanya.
Namun begitu, pelawat yang pekerjaannya memerlukan kehadiran fizikal di New Zealand, seperti wakil jualan syarikat asing, penghibur, dan mereka yang bekerja untuk majikan tempatan, tetap perlu memohon visa yang sesuai dengan keperluan mereka.
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.–Bernama