KUALA LUMPUR, 21 Feb – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) model “ANKA” buatan Turkiye dalam tahun ini, selepas pemerolehannya pada Mei 2023, menurut Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.
Dalam temu bual bersama Bernama selepas menghadiri program The Nation terbitan Bernama TV semalam, beliau menyatakan bahawa ANKA MALE-UAS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) merupakan sebuah sistem canggih yang akan dikendalikan oleh TUDM.
“Saya rasa pemindahan ANKA (ke Malaysia) akan berlaku tahun ini. Tetapi, ia platform yang amat canggih, bukan sekadar satu objek terbang. Ia memerlukan sistem ketersambungan, kawalan dan pemerintahan serta latihan anggota. Memandangkan ia merupakan UAS yang sangat canggih, ia mengambil sedikit masa untuk menangani isu sampingan yang perlu diselesaikan,” katanya.
Kementerian Pertahanan Malaysia dan TAI telah menandatangani kontrak semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) bagi memperoleh tiga unit ANKA MALE-UAS, termasuk peralatan sokongan berkaitan.
Mengenai kemungkinan Malaysia akan membuat pesanan tambahan bagi model ANKA-UAS dalam masa terdekat, Yuksel tidak menolak kemungkinan tersebut, namun menyatakan ia bergantung kepada keputusan kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hubungan pertahanan antara Malaysia dan Turkiye adalah kukuh, dan Turkiye bersedia untuk terus bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang pertahanan.
“Sudah tentu, perbincangan mengenai kerjasama akan datang sedang berlangsung. Saya percaya terdapat banyak peluang kolaborasi antara kedua-dua negara, dan saya tidak melihat sebarang halangan untuk terus maju,” katanya.
Malaysia bercadang untuk menempatkan ANKA MALE-UAS di Pangkalan Udara Labuan bagi menjalankan pemantauan terhadap pencerobohan asing ke dalam perairan negara, terutamanya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan, yang merupakan kawasan utama bagi industri minyak dan gas.
Malaysia dipercayai memilih varian ANKA-S yang mampu beroperasi pada altitud sehingga 30,000 kaki selama 24 hingga 30 jam, dengan kapasiti muatan antara 250 hingga 350 kilogram.
Model ANKA-S MALE-UAS ini mempunyai kerangka komposit yang disepadukan dengan sistem kawalan penerbangan autonomi yang dibangunkan secara domestik, membolehkannya beroperasi secara waypoint dan menjalankan penerbangan autonomi.
Selain itu, ANKA-S dilengkapi dengan radar Synthetic Aperture Radar (SAR), Inverse SAR (ISAR), serta Ground Moving Target Indicator (GMTI), yang membolehkannya mengesan, mengenal pasti, dan menjejak sasaran sama ada dalam keadaan pegun atau bergerak.
Selain berperanan dalam misi risikan, pemantauan dan tinjauan (ISR), ANKA MALE-UAS turut mempunyai keupayaan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh ROKETSAN bagi misi serangan darat.
Yuksel turut memaklumkan bahawa beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada di Turkiye bukan sahaja untuk menjalani latihan berkaitan ANKA MALE-UAS, tetapi juga bagi memantau pembinaan tiga kapal Littoral Mission Ship Batch II (LMSBII) yang diperoleh oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari limbungan kapal di negara itu.
Malaysia telah menandatangani kontrak bagi memperoleh tiga LMSBII tahun lalu, yang reka bentuknya berdasarkan kapal korvet kelas ADA milik Tentera Laut Turkiye.
Ketiga-tiga kapal ini akan dilengkapi dengan sensor dan sistem elektronik canggih, termasuk peluru berpandu antikapal ATMACA buatan Turkiye yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan ROKETSAN, yang mempunyai jarak ketepatan sehingga 250 kilometer.