Siri 3: Hujah: Jejak-Jejak Dari Kitabullah

Oleh: Mizan binti Muhammad
Pensyarah, Pusat Asasi,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
5 November 2025

‘Aqal – garis pemisah di antara makhluk bernama  manusia dan sekalian ciptaanNya. Apakah kita pernah menggunakannya untuk bertanya ‘mengapa saya beriman?’ Apa erti saya seorang Muslim? Adakah kerana warisan, perasaan, ikut-ikutan atau keyakinan berdasarkan kebenaran hujah? Pertanyaan ini bukan baharu. Ia telah menjadi inti perdebatan dan pemikiran manusia — dari zaman Nabi Ibrahim di Babylon hingga ke era moden yang memperdebat konsep ketuhanan di dewan Kesatuan Oxford. Maka keimanan sepatutnya tidak lahir dari taklid membuta tuli. Ia sewajarnya bercambah daripada al-burhan — hujah yang mendekatkan akal kepada kebenaran wahyu.

Logik al-Quran: Wahyu yang Mendidik Akal

Al-Quran bukan sekadar kitab hidayah dan panduan kehidupan; ia juga kitab hujah. Ia menampilkan gaya berhujah yang amat pelbagai — logik yang mendidik dan meyakinkan, bukan sekadar menundukkan. Allah tidak memerintah manusia untuk percaya secara semberono, sebaliknya menyeru agar berfikir, meneliti dan bertanya. Firman Allah:

“Tidakkah mereka memerhatikan kejadian langit dan bumi serta segala yang diciptakan Allah?” (al-A‘raf: 185)

i. Logik Deduktif

Al-Quran sering mengemukakan hujah dengan susunan deduktif — bermula dari premis umum menuju kepada pembentukan kesimpulan khusus. Contohnya:

“Kalau ada tuhan selain Allah, nescaya rosaklah langit dan bumi.” (al-Anbiya’: 22)

Ayat ini menunjukkan silogisme deduktif:

  • Jika ada dua kuasa mutlak, akan wujud pertentangan.
  • Alam ini teratur tanpa pertentangan.
  • Maka, Tuhan hanyalah satu.

Ini ialah asas kepada logik monoteisme, bukan sekadar akidah keimanan. Dalam surah al-Tur (52:35–36) juga terkandung bentuk logik deduktif tentang konsep kewujudan Sang Peencipta. Allah berfirman:

“Adakah mereka dicipta tanpa sesuatu, atau mereka yang mencipta diri mereka sendiri?”

Soalan ini menafikan kemungkinan mustahil untuk menegaskan kewujudan Pencipta. Logik ini, yang bersifat universal, kemudian dihidupkan semula dalam teologi moden sebagai bukti rasional terhadap konsep Tuhan.

ii. Logik Induktif

Dalam banyak ayat, al-Quran mengajak manusia mengamati fenomena alam untuk menemukan hukum-hukum umum:

“Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang yakin, dan juga pada diri kamu sendiri; maka apakah kamu tidak melihat?” (al-Dhariyat: 20–21)

Manakala dalam surah Fussilat (41:53):

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka…”
Ini merupakan asas hujah istidlāl bi al-āyāt, hujah yang menuntut manusia berfikir melalui tanda-tanda alam. Ia bukan logik yang kering, tetapi logik yang berjiwa — menghubungkan akal dengan tauhid.

Pendekatan ini juga dikenali sebagai logik empirikal — membina kesimpulan daripada pemerhatian terhadap sejumlah data spesifik atau pengalaman. Ia telah menjadi asas kepada kaedah saintifik yang kemudian dikembangkan oleh saintis Islam antaranya al-Biruni, Ibn al-Haytham dan al-Khwarizmi.

Bukan sekadar itu, kaedah ini juga digunakan dalam penentuan hukum-hukum Feqah, yang dikenali sebagai kaedah Istiqra’. Imam al-Syatibi menjelaskan istiqra’ ialah penelitian terhadap makna-makna juz’i (khusus) untuk menetapkan kesimpulan hukum yang umum yang bersifat qat’ie atau zanni.

iii. Logik Analogi

Dalam keadaan yang lain, Al-Quran juga menggunakan analogi – hujah perbandingan untuk mengukuhkan kefahaman, seperti perumpamaan cahaya iman:

“Allah ialah cahaya bagi langit dan bumi… perumpamaan cahaya-Nya seperti sebuah pelita dalam kaca.” (al-Nur: 35)

Analogi ini menggambarkan hakikat metafizik dalam bentuk yang dapat diamati melalui pancaindera, menjadikan hujah lebih mudah dicerna oleh akal dan jiwa.

Dalam surah al-Baqarah (2:258), Nabi Ibrahim menggunakan kaedah qiyas tamsili untuk menidakkan kekuasaan Raja Namrud. Ibrahim berhujah:

“Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.”

Ketika Namrud cuba meniru dengan “menghidupkan” dan “mematikan” manusia secara zahir, Ibrahim segera mematahkan logik palsu itu dengan hujah lebih tinggi:

“Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat.”

iv. Logik Dialektik

Dalam beberapa surah, Allah memperlihatkan gaya hujah soal-jawab dan penyoalan balas. Teknik yang sama yang digunakan oleh Socrates. Di dalam surah al-Tur, Allah bertanya:

“Adakah mereka diciptakan dari tiada sesuatu, atau adakah mereka sendiri yang mencipta?” (al-Tur: 35)

Ayat ini membawa pembaca untuk berfikir — satu bentuk logik dialektik yang menafikan sangkaan palsu dengan pertanyaan bersifat reflektif.

Kisah Ibrahim dalam menyampaikan tugas kerasulannya sangat baik untuk dipelajari. Dari awal pencariannya tentang siapa Tuhan yang sebenar sehinggalah  berhujah dengan kaumnya akan keesaan  Allah. Melalui pemerhatian terhadap bintang, bulan dan matahari — menyoal: “Inikah Tuhanku?” — sebelum menolak satu per satu dengan rasional bahawa binaan batu yang tidak bernyawa tidak layak disembah (Al-An’am, 6:76–79, Al-Anbiya’, 21:51-70). Teknik hujahnya bersifat dialog dan deduktif — menelusuri kesalahan berfikir kaumnya melalui soalan yang memaksa mereka berfikir.

Penghujahan Al-Quran dan Aplikasi Dalam Kehidupan

Teori Penghujahan Islam (Islamic Argumentation Theory)  telah mula berkembang dalam bidang pendidikan dan komunikasi moden — terutamanya dalam pengajaran pemikiran kritis, debat akademik, dan wacana awam. Teori ini menekankan bahawa hujah dalam Islam bukan hanya menilai bentuk logik (premis dan kesimpulan), tetapi juga niat, adab, dan maqasid (tujuan kebenaran).

Pendekatan ini juga diterapkan dalam pembangunan masyarakat. Dalam konteks dasar sosial dan antara budaya, prinsip Qur’anic reasoning mendorong pembuat dasar untuk menggunakan hujah berpandukan nilai (value-based reasoning). Sebagai contoh:

  • Dalam isu alam sekitar, hujah Qurani seperti “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan tangan manusia” (al-Rum 30:41) menjadi asas moral kepada kempen kesedaran ekologi Islam. Ia bukan slogan hijau, tetapi logik tauhid yang menghubungkan tanggungjawab manusia dengan keseimbangan ciptaan.
  • Dalam ekonomi, prinsip “Agar harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya” (al-Hasyr 59:7) menjadi asas kepada hujah keadilan sosial — digunakan dalam hujah-hujah dasar ekonomi Islam yang menolak eksploitasi dan ketidakseimbangan.
  • Dalam isu pendidikan, ayat “Apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (al-Zumar 39:9) dijadikan dasar hujah bahawa pembangunan insan mesti berpaksikan ilmu, bukan semata-mata kemahiran teknikal.

Pendekatan Qur’anic reasoning dan teori hujah Islam ini sebenarnya membuka ruang besar untuk usaha mengislah masyarakat — kerana ia menuntut manusia berfikir dan memahami; bukan untuk membenarkan diri, tetapi untuk mencari kebenaran.

Maka apabila ada yang berkata penting untuk menggunakan slogan dalam Bahasa Inggeris demi menarik kemasukan pelancong antarabangsa kerana ia bahasa global, adakah ini hujah atau falasi dangkal, kepincangan menggunakan akal?

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Nga Kor Ming (DAP) Dituduh Ugut Wartawan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (DAP), didakwa…

Selebriti Tempatan Dalam Radar SPRM, Disyaki Terlibat Sindiket Pinjaman

SHAH ALAM – Beberapa selebriti, termasuk artis dan ikon tempatan,…