Siri 2: Hujah – Tradisi Ilmu Pembina Ketamadunan

Oleh:
Mizan binti Muhammad
Pensayarah, Jabatan Undang-undang, Pusat Asasi UIAM
14 Oktober 2025

Jika dalam siri sebelum ini kita melihat hujah sebagai satu keperluan sosial, siri kali ini mengajak pembaca melihat hujah sebagai satu tradisi ilmu yang tersusun yang mendasari ketamadunan bangsa. Hujah bukan hanya kemahiran spontan untuk mempertahankan pendapat, tetapi ia mempunyai asas falsafah, kaedah analisis, dan tujuan epistemologi yang jelas.

Panduan al-Quran tentang konsep hujah ditampilkan dengan jelas dalam surah al-Nahl, ayat 125:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berhujahlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat daripada jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”

Ayat ini menegaskan hujah bukan sekadar seni berbicara atau perdebatan lisan, tetapi satu amanah akal dan tanggungjawab moral. Islam tidak mengajak kepada keimanan secara membuta tuli, sebaliknya mengajak manusia berfikir, menilai, dan mencari kebenaran melalui hujah yang benar dan beradab. Maka hujah ialah instrumen intelektual yang menghubungkan wahyu dan akal, menjadi asas mencari kebenaran.

Hujah Sebagai Disiplin Ilmu

Dalam kehidupan seharian, kita sentiasa berdepan dengan pelbagai dakwaan: dari isu politik, sains, agama hingga perkara biasa seperti cuaca dan kesihatan. Tetapi persoalannya, bagaimana kita menentukan sama ada sesuatu dakwaan itu benar atau sekadar cakap kosong? Di sinilah hujah memainkan peranan.

Dari sudut epistemologi – cabang falsafah yang mengkaji teori tentang pengetahuan, hujah adalah alat untuk memberi justifikasi  (justification) yang wajar untuk mempercayai sesuatu dakwaan (claim). Dari sudut epistemologi, kita menyedari bahawa hujah sebenar bukan sahaja tentang meyakinkan orang lain, tetapi membina kepercayaan yang berasaskan fakta atau kenyataan yang disokong dengan alas an, bukti dan logik.

Tuntasnya, hujah ialah apabila seseorang memberikan alasan untuk menyokong sesuatu dakwaan. Contohnya dalam Isu perubahan iklim:

  • Dakwaan: Perubahan iklim berpunca daripada aktiviti manusia.
  • Alasan: Suhu global meningkat seiring dengan pelepasan karbon industri, kutub ais mencair, dan banyak kajian saintifik bebas menyokong hal ini.

 

Dalam perdebatan, seseorang mungkin hanya cuba menang atau meyakinkan.
Tetapi dari sudut epistemologi, persoalan utama ialah:

  • Adakah alasan itu benar-benar menyokong dakwaan?
  • Adakah kajian saintifik itu boleh dipercayai dan telah disahkan oleh kajian lain?
  • Adakah bukti ini membawa kita lebih hampir kepada kebenaran?

Jika ya, maka secara epistemik, kita wajar untuk mempercayai dakwaan tersebut.

Dalam pengajian ilmu hujah, seseorang itu bukan sekadar mempelajari teknik perrdebatan, tetapi jauh lebih mendalam, ilmu ini merangkumi antara lain; analisis struktur penghujahan – yakni mengkaji jenis-jenis logik, analisis kritikal – dimana kajian berkisar tentang kesahihan dan kekuatan hujah, dan analisis retorik dan pragmatik – yakni mengkaji bagaimana hujah digunakan dalam konteks sosial, politik mahupun moral.

Tradisi Ilmu Hujah

Tradisi keilmuwan Islam kaya dengan konsep hujah. Al-Quran menggunakan istilah bayyinah (bukti yang jelas) untuk membezakan kebenaran daripada kebatilan (Surah al-Bayyinah, 98:1). Dalam banyak ayat lain, Allah memerintahkan manusia untuk berfikir (tafakkur), merenung (tadabbur), dan berhujah (jadal) dengan cara yang baik. Malah, ilmu usūl al-fiqh dibangunkan untuk mengatur kaedah berhujah dalam mengeluarkan hukum, termasuk penggunaan qiyasistihsan, dan maslahah mursalah. Para ilmuwan seperti Imam al-Shafi‘i dalam al-Risalah menekankan kepentingan dalil yang sahih, struktur hujah yang konsisten, dan adab dalam berbeza pendapat.

Imam al-Ghazali dalam Mi‘yar al-‘Ilm pula menegaskan bahawa logik adalah alat penting bagi memastikan ketepatan pemikiran dan bebas daripada kekeliruan. Beliau menyebut:

“Sesiapa yang tidak menguasai ilmu logik, maka ilmunya tidak dapat dipercayai.”

Selain usūl al-fiqh, tradisi Islam turut melahirkan disiplin khusus iaitu adab al-baḥth wa al-munāẓarah yang memperincikan peraturan perbahasan ilmiah: menetapkan topik dengan jelas, mengemukakan dakwaan dengan dalil, menjawab bantahan dengan tertib dan adil, dan menjaga adab sepanjang perbincangan. Kitab-kitab klasik seperti Risālah fi Adab al-Baḥth karya al-Samarqandi dan Adab al-Baḥth karya al-Jurjani membincangkan peraturan berhujah secara sistematik. Ilmu ini merupakan asas kepada budaya berbeza pendapat yang memastikan perbezaan tidak menimbulkan perpecahan, tetapi memperkaya kefahaman.

Tamadun Yunani purba pula merupakan zaman permulaan berkembangnya ilmu hujah di Barat. Ahli falsafah terkemuka Socrates, masyhur dengan kaedah soal jawab yang disebut elenchus — di mana beliau tidak memberi jawapan terus, tetapi menyoal sehingga lawan bicara menyedari kelemahan hujahnya sendiri.

Misalnya dalam dialog Euthyphro, Socrates bertemu seorang lelaki bernama Euthyphro yang mendakwa mengetahui hakikat kesucian (piety). Socrates lantas bertanya:

“Apakah itu kesucian?”

Euthyphro menjawab: “Kesucian ialah melakukan sesuatu yang disukai para dewa.”
Socrates kemudian menyoal lagi: “Tetapi bukankah para dewa kadang-kadang berselisih pendapat? Maka apa yang disukai oleh seorang dewa mungkin dibenci oleh dewa lain. Jadi adakah sesuatu itu suci kerana ia disukai dewa, atau dewa menyukai sesuatu kerana ia memang suci?”

Melalui soalan bertali arus, Socrates menunjukkan kelemahan definisi Euthyphro. Dialog ini bukan bertujuan menjatuhkan Euthyphro, tetapi membawa kepada pemahaman lebih dalam tentang hakikat kesucian.

Aristotle kemudiannya memperkenalkan tiga unsur penting dalam retorik: logos (rasional hujah), ethos (kredibiliti penyampai), dan pathos (daya emosi). Beliau selepas itu membangunkan ilmu logik (syllogisme) untuk menentukan kesahihan deduksi dan membina hujah yang sistematik. Beliau mengajar murid-muridnya bahawa jika premis benar dan struktur logik sah, maka kesimpulan juga benar.

Contoh silogisme Aristotle adalah seperti berikut:

  • Premis 1: Semua manusia adalah fana.
  • Premis 2: Socrates ialah manusia.
  • Kesimpulan: Maka Socrates adalah fana.

Perbahasan ini kelihatan mudah, tetapi ia merupakan asas logik deduktif yang membentuk sains dan falsafah Barat. Aristotle menggunakannya untuk mengajar pengikutnya bahawa hujah yang kukuh mesti mempunyai premis yang benar dan hubungan logik yang sahih.

Persamaan Dalam Perbezaan

Dari Socrates di Athens, Aristotle di Lyceum, al-Ghazali dan al-Samarkandi di madrasah — hujah jelas menjadi tunjang ketamadunan manusia. Walau berbeza sudut pandang,  fahaman mereka akan hakikat hujah tetap sama.

Hujah sebagai disiplin ilmu menggabungkan dimensi falsafah, epistemologi, dan etika. Sama ada dalam tradisi Islam atau Barat, tujuannya seiring: mencari kebenaran dan menegakkan keadilan. Dalam dunia moden yang penuh cabaran — daripada perubahan iklim, dasar awam, hinggalah maklumat palsu di media sosial — ilmu hujah perlu kembali diangkat. Menghidupkan semula disiplin ini dalam konteks moden — sama ada di institusi pendidikan, badan legislatif, media atau wacana awam — akan membantu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja bijak berhujah, tetapi juga berakhlak dalam perbezaan.

Bangsa yang mengabaikan hujah akan mudah terperangkap dalam retorik emosi dan manipulasi. Sebaliknya, bangsa yang menghidupkan budaya hujah akan melahirkan masyarakat berilmu, adil dan matang. Bukankah bangsa sebigini yang menepati ciri sebuah negara madani?

 

2 Comments Tinggalkan Balasan

  1. Penulisan yang hebat..
    hujah yang positif mampu memberi impak yang positif; dalam usaha menegakkan perkara yang haq, dan menentang perkara batil.

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

ATM Lantik Leftenan Jeneral Pertama Berbangsa Cina dalam Sejarah

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2025 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM)…

120 Ketua Bahagian Bersatu Desak Muhyiddin Undur, Sokong Hamzah Ambil Alih Kepimpinan

Kuala Lumpur, 7 September 2025 – Krisis dalaman Parti Pribumi…