Rundingan AS – Malaysia; Penelitian Semula kadar Tarif – Pakar Ekonomi

25 April 2025

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Potensi pemotongan atau penghapusan tarif timbal balik terhadap Malaysia dilihat sebagai salah satu hasil positif daripada pertemuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer semalam.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Geoffrey Williams berkata jeda selama 90 hari yang diumumkan baru-baru ini memberi peluang kepada Malaysia untuk merundingkan terma perdagangan yang lebih baik, seterusnya memperkukuh daya saing perdagangan global negara.

Menurut beliau, “Perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Hari Pembebasan dengan jelas membenarkan rundingan yang boleh membawa kepada pengurangan atau penghapusan tarif timbal balik, dan inilah yang dijanjikan serta dipromosikan oleh AS.”

“Jika rundingan berjaya dan terdapat komitmen untuk mengurangkan atau menghapuskan tarif serta halangan bukan tarif, maka tarif timbal balik boleh diturunkan atau dimansuhkan,” katanya kepada Bernama.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut menjangkakan kemungkinan pengecualian atau pengurangan tarif akan diperoleh susulan rundingan tersebut, memandangkan usaha diplomatik Malaysia yang berterusan.

“Dengan tarif timbal balik semasa sebanyak 24 peratus, manakala kadar purata tarif Malaysia berdasarkan data Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) adalah 5.6 peratus, kita mungkin boleh mencapai kompromi di tengah-tengah — atau mungkin juga diberi pengecualian,” katanya.

Beliau menambah bahawa Malaysia terus komited terhadap perdagangan dua hala yang adil bersama AS, dan berharap keseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara bergerak ke arah yang lebih positif.

Pada 2 April 2025, Presiden AS mengumumkan pengenaan tarif timbal balik ke atas beberapa negara, termasuk tarif 24 peratus terhadap barangan dari Malaysia yang kini dalam tempoh penangguhan. Antara sektor yang paling terkesan termasuk elektrikal dan elektronik (E&E), yang merangkumi lebih separuh daripada eksport Malaysia ke AS, serta produk getah, jentera dan perabot.

Selain Greer, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick di Washington DC pada Khamis untuk membincangkan isu-isu berkaitan perdagangan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan AS ke arah penyelesaian yang dipersetujui bersama berkaitan isu tarif timbal balik yang diumumkan oleh pentadbiran Trump.

Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk merundingkan empat aspek utama: pengurangan defisit perdagangan, menangani halangan bukan tarif, memperkukuh keselamatan teknologi dan meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Menangani Kebimbangan AS

MITI juga menjelaskan bahawa Malaysia akan mempertimbangkan pendekatan alternatif bagi menangani kebimbangan Amerika Syarikat, sambil memastikan perdagangan dua hala yang saling menguntungkan dapat diteruskan.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, dengan Malaysia memegang kerusi Pengerusi ASEAN tahun ini, negara berada dalam posisi strategik untuk mengetuai dialog perdagangan AS-ASEAN dalam menyelesaikan isu-isu dua hala melalui kerangka serantau.

“Platform ini akan memudahkan perbincangan mengenai akses pasaran, pelepasan tarif dan liberalisasi perdagangan, memanfaatkan pasaran ASEAN bernilai US$3.1 trilion untuk mencari penyelesaian seimbang.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan ketegangan perdagangan, malah memperkukuh hubungan ekonomi AS-ASEAN serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan perdagangan global yang dipercayai,” katanya.

Tambah beliau lagi, antara pendekatan lain yang boleh digunakan termasuk Perjanjian Perlindungan Teknologi yang memberi fokus kepada sektor semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.

“Perjanjian seperti ini akan mengukuhkan perlindungan harta intelek dan menjamin rantaian bekalan kritikal, memenuhi keutamaan AS sambil menyokong Strategi Nasional Semikonduktor Malaysia,” katanya.

AS kekal sebagai destinasi eksport kedua terbesar Malaysia, merangkumi 13.2 peratus daripada jumlah eksport negara pada 2024.

Berdasarkan laporan Prestasi Perdagangan Malaysia, nilai perdagangan dengan AS meningkat sebanyak 29.9 peratus pada 2024 kepada RM324.91 bilion berbanding tahun sebelumnya. Eksport ke AS melonjak 23.2 peratus kepada RM198.65 bilion, mencatatkan paras tertinggi baharu.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

AIM24: Malam Gemilang Muzik Malaysia, Biduanita Negara Siti Nurhaliza Dinobat Sri Wirama

Arena of Stars, Genting Highlands – 13 September 2025 Malam…

Status Sebenar Tanah Rizab Melayu: Bertambah di Atas Kertas, Terhakis di Lokasi Strategik?

Walaupun keluasan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung meningkat sejak sebelum…