Landskap keselamatan serantau kini menuntut kejelasan arah dan keberanian bersuara.
Dalam Perutusan Tahun Baharu Kementerian Pertahanan 2025, Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa negara perlu mencermati cabaran geopolitik dari sudut pertahanan yang tersendiri. Menurut beliau, Malaysia mesti bersikap lebih tegas dalam menyatakan pendirian strategik. Negara ini tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, terutamanya apabila berdepan dengan kedinamikan serantau dan antarabangsa yang semakin mencabar.
Pandangan dan penegasan tersebut mempunyai beberapa asas yang kuat dan munasabah. Selain berdiri sebagai sebuah negara berdaulat yang mempunyai kepentingan global yang tersendiri, Malaysia merupakan pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia, khususnya MINDEF, berada pada kedudukan yang sangat strategik untuk memacu agenda kerjasama pertahanan yang lebih selaras, bersepadu dan berkesan dalam kalangan semua 10 negara anggota. Aspirasi dan visi penting ini wajar dikongsikan kepada masyarakat awam yang akan menjadi asas penting kekuatan negara.
Aspirasi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia ini mesti dikongsi dan difahami masyarakat awam, dan diterjemahkan kepada pembentukan sebuah kerjasama pertahanan serantau yang lebih kukuh dan berdaya saing. Ia berpotensi menjadi asas penting dalam memperkukuh kestabilan rantau secara menyeluruh. Pendekatan ini membawa implikasi lebih luas, khususnya terhadap peranan ASEAN sebagai blok serantau yang memerlukan kerjasama pertahanan yang lebih tersusun dan berdaya saing. Apatah lagi ketika ini, seperti yang ditegaskan oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, bahawa pertahanan di rantau Asia Tenggara merupakan isu yang semakin kompleks. Terutamanya dengan kehadiran ancaman keselamatan yang tidak lagi terbatas kepada konflik tradisional semata-mata.
Ancaman Semasa dan Keperluan Integrasi Pertahanan ASEAN
Salah satu perkara penting berkenaan isu keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN adalah kesediaan negara-negara anggota untuk mengakui wujudnya kepentingan dan keutamaan yang berbeza antara semua negara. Keterbukaan Dato’ Seri Khaled Nordin, selaku Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN Defence Ministers’ Meeting, untuk memberi ruang dan peluang kepada setiap negara anggota menyatakan kebimbangan dan fokus mereka merupakan satu permulaan yang sangat baik. Sekurang-kurangnya, perkara tersebut dengan jelas menampakkan sikap Malaysia yang tidak sesekali memandang ringan kedudukan dan situasi unik di setiap negara anggota.
Hujah dan pandangan beliau, khususnya semasa dalam permukiman ADMM pada Februari 2025 di Pulau Pinang – yang menekankan keperluan untuk memberi perhatian kepada ancaman dan cabaran bukan tradisional – merupakan satu petunjuk yang kritikal dalam memastikan kesemua negara anggota menyokong kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
MINDEF mesti menunjukkan yang Malaysia bukan sahaja peka akan persekitaran semasa keselamatan di Asia Tenggara yang semakin rumit dan dinamik. Tetapi kita bersedia untuk menguruskan semua itu dengan pendekatan baharu yang lebih praktikal dan inovatif. Ancaman seperti konflik maritim di Laut China Selatan, keganasan rentas sempadan, serangan siber, dan krisis kemanusiaan semakin menekan ASEAN untuk mempertimbangkan satu bentuk kerjasama pertahanan yang lebih erat dan tersusun. Ini bermakna, platform seperti ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus yang kedua-duanya diterajui oleh MINDEF mesti mengorak langkah dengan membahaskan cadangan serta saranan yang konstruktif dan pelbagai agar ia tidak dilihat sekadar menjadi saluran diplomasi pertahanan yang hanya mengutamakan dialog berbanding ruang kerjasama ketenteraan serantau yang lebih kolektif dan tegas.
Ulasan Peranan ADMM dan ADMM-Plus
Terdapat kritikan terhadap mekanisme kerjasama pertahanan ASEAN yang kurang dinamik dan pasif terhadap ancaman semasa. Ditambah pula dengan cadangan pertahanan kolektif Pasifik oleh bekas penolong setiausaha pertahanan Amerika Syarikat (AS), Ely Ratner dan Asian NATO oleh Jepun, ASEAN perlu memperkukuh strategi dan idealisme kerjasama pertahanan serantau yang tidak bersifat “zero-sum game”
Idea untuk mewujudkan blok pertahanan kolektif serantau ASEAN sudah pasti membawa implikasi besar terhadap dasar berkecuali yang menjadi asas hubungan luar ASEAN sejak penubuhannya. Prinsip-prinsip seperti berkecuali, konsensus, dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota adalah amat berbeza dengan pendekatan blok negara lain yang memiliki sistem integrasi ketenteraan serta struktur birokrasi yang jelas.
Walaupun terdapat kritikan terhadap ketidakupayaan ADMM untuk menggerakkan tindakan pertahanan secara bersatu, ADMM tetap memainkan peranan strategik sebagai mekanisme penstabil yang penting bagi rantau Asia Tenggara dalam menghadapi kedinamikan serantau dan global yang semakin mencabar. Peranan ini diperkukuh melalui penekanan terhadap ketelusan dan kepercayaan bersama yang dibina menerusi forum dialog dan kerjasama praktikal, yang berfungsi sebagai langkah-langkah pembinaan keyakinan (CBM) untuk meningkatkan persefahaman antara negara-negara anggota.
Menerusi mekanisme ADMM-Plus, ASEAN berupaya untuk menjalin kerjasama dengan rakan luar seperti Amerika Syarikat. Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, baru-baru ini mengetengahkan keselamatan siber sebagai salah satu domain baharu yang penting dalam kerjasama ASEAN-AS, termasuk melalui penubuhan ADMM Cybersecurity and Information Centre of Excellence (ACICE). Seperti yang dinyatakan oleh Ely Ratner, para pemimpin di Washington dan ibu negara sekutu lain masih giat berusaha untuk memperdalam kerjasama ketenteraan di Indo-Pasifik walaupun wujud ketegangan dari sudut ekonomi dan diplomasi. Dalam konteks ASEAN, mekanisme ADMM-Plus telah membantu memudahkan kesinambungan kerjasama meskipun berlaku perubahan pentadbiran di Amerika Syarikat.
Namun begitu, masih banyak yang boleh dilakukan untuk memperluas lagi mekanisme sedia ada ADMM dan ADMM-Plus serta secara beransur-ansur mengubah persepsi bahawa ia hanyalah sebuah ‘talk shop’ yang lemah dari segi keupayaan membentuk pendekatan pertahanan secara kolektif menerusi cara yang tidak mengikat.
Ke Arah Integrasi Pertahanan ASEAN
Sebagai permulaan dalam proses mengintegrasi pertahanan serantau ASEAN, langkah pertama adalah membangunkan mekanisme latihan ketenteraan pelbagai hala seperti RIMPAC atau Cobra Gold bakal diperkasakan secara lebih kerap, konsisten, dan berstruktur.
Kedua, kerjasama yang semakin meningkat antara negara-negara ASEAN dalam industri pertahanan menerusi ADMM merupakan satu perkembangan yang signifikan. Ketika ini, negara-negara ASEAN masih bergantung secara besar terhadap import senjata dari luar rantau, yang mewujudkan cabaran strategik dan logistik serta mendedahkan rantau ini kepada ketidaktentuan geopolitik global. Namun begitu, melalui kerangka sedia ada di bawah ASEAN, negara-negara anggota telah menunjukkan keupayaan untuk bekerjasama rapat dalam pembangunan bersama infrastruktur keselamatan meskipun secara dua hala. Ini memperlihatkan potensi ke arah pembentukan rantaian bekalan pertahanan yang lebih berdikari dalam kalangan negara ASEAN sendiri.
Ketiga, mengeratkan tahap kolaborasi dan pelaburan dalam inisiatif keselamatan siber merupakan keutamaan yang kian mendesak. Baru-baru ini, Malaysia telah menerajui Strategi Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 dengan tema ‘Memperkasa Ketahanan Siber’, yang menjadi asas penting bagi ASEAN untuk memberi keutamaan kepada kerjasama masa nyata antara negara anggota dalam bidang seperti tindak balas insiden, forensik digital, perkongsian data yang selamat, dan penyelarasan dasar.
Yang jelas, pengadaptasian mekanisme ASEAN dalam perihal pertahanan perlu mengambil kira pendekatan politik serantau ASEAN yang pelbagai corak. Integrasi pertahanan serantau ASEAN boleh mengambil bentuk dalam kerjasama pelbagai hala yang lebih erat dari segi industri pertahanan dan keselamatan siber serantau ASEAN. Sama ada berjaya atau tidak cadangan penambahbaikan mekanisme pertahanan serantau ASEAN, ia bergantung sepenuhnya kepada kemampuan negara anggota ASEAN untuk melangkaui kerangka diplomasi dan dialog semata-mata, dan mula memikirkan secara serius tentang pertahanan serantau dalam rangka kerja ASEAN.