ASEAN: Malaysia Tumpu Isu Pertahanan Bukan Konvensional

Oleh: Fikry A Rahman, Bait Al Amanah
16 Julai 2025
Foto: Media sosial rasmi DS Mohamed Khaled Nordin

Antara aspek yang paling mendapat tumpuan di bawah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia sudah pastilah kerjasama dan dialog pertahanan di bawah ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus. Kedua-dua platform ini muncul sebagai instrumen diplomasi pertahanan utama bagi ASEAN serta 10 negara rakan dialog seperti China, Amerika Syarikat, Rusia, dan lain-lain dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan.

Ini bermakna, selaku pengerusi ASEAN 2025, Malaysia, khususnya Kementerian Pertahanan (MINDEF), sudah pastilah diharapkan dapat mengoptimumkan ADMM dan ADMM-Plus bagi mempamerkan kematangan dan kepekaan kita terhadap pelbagai isu pertahanan serantau. Perkara ini menjadikannya kritikal untuk Malaysia membuktikan keupayaan kita dalam mengemudi pelbagai isu yang menjadi perhatian dan fokus negara-negara anggota. Pendekatan dan pendirian kita dalam menangani seberang cabaran berkenaan landskap geopolitik serantau akan menjadi perhatian semua pihak.

Fokus Strategik Malaysia

Dalam mengemudi ADMM dan ADMM Plus, keupayaan Kementerian Pertahanan untuk mengutarakan isu yang relevan dan pandangan yang sesuai dengan keperluan rantau ini akan sangat teruji. Ia bukan sahaja mesti direncanakan secara teliti dan strategik. Tetapi yang mesti turut dipastikan adalah segala fokus yang diangkat oleh Malaysia akan benar-benar membawa impak kepada negara-negara anggota dan tidak sekadar bersifat slogan di atas kertas.

Di bawah kepimpinan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, MINDEF menzahirkan komitmen Malaysia untuk menggerakkan perhatian ASEAN ke arah cabaran keselamatan yang lebih dinamik dan kontemporari. Namun begitu, ini sama sekali tidak bermakna yang cabaran-cabaran lama dan konvensional sudah tidak penting dan boleh dilupakan.

Berdasarkan deklarasi bersama semasa Permukiman ADMM (ADMM Retreat) di Pulau Pinang pada Februari 2025, ADMM dijangka terus memainkan peranan penting dalam diplomasi pertahanan serantau, khususnya dalam menangani cabaran bukan tradisional seperti  kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber. Di bawah kepengerusian Malaysia, tumpuan diberikan kepada pengukuhan kerjasama mengenai pembangunan tadbir-urus AI peringkat ASEAN dalam usaha merapatkan jurang teknologi menerusi perkongsian amalan dan pemindahan teknologi. Malaysia turut menyokong integrasi elemen AI dalam perbincangan siber sebagai komitmen memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN menghadapi cabaran teknologi masa depan.

Pada masa yang sama, Dato’ Seri Mohamed Khaled telah turut mencadangkan penubuhan pasukan bantuan kemanusiaan dan bencana peringkat ASEAN, sebagai tindak balas proaktif menghadapi realiti ancaman baharu yang berteknologi canggih serta rentas sempadan. Langkah ini memperlihatkan nilai strategik apabila Malaysia tidak lagi mengikat tumpuan keselamatan ASEAN kepada ancaman bersenjata semata-mata. Sebaliknya, Menteri Pertahanan memilih untuk menunjukkan kematangan MINDEF dengan memberi ruang yang luas dan serius kepada bentuk ancaman yang lebih tersembunyi, berlapis dan mencabar dari sudut respons.

Selain itu, ancaman siber terus yang menunjukkan peningkatan membimbangkan di Malaysia dan Asia Tenggara, turut menjadi agenda yang dibawa oleh Malaysia. Menurut National Cyber Coordination and Command Centre, sebanyak 4,626 insiden keselamatan siber direkodkan pada 2024 — peningkatan 43 peratus berbanding 2020. Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCert) turut melaporkan kenaikan hampir 29 peratus dalam insiden kebocoran data pada suku pertama tahun ini, menandakan keperluan mendesak untuk memperkukuh keselamatan digital.  Firma keselamatan siber berpangkalan di Singapura, Cyfirma, pada tahun 2023, mendedahkan bahawa Asia Tenggara berdepan 68 serangan siber daripada keseluruhan 86 kempen ancaman berterusan lanjutan (advanced persistent threat, APT) yang dipantau dalam tempoh hanya lapan bulan. Serangan ini secara khusus menyasarkan Singapura dengan 26 organisasi menjadi mangsa, diikuti Thailand, Vietnam, dan Indonesia. Apa yang semakin ketara ialah ruang digital telah berubah menjadi medan konflik bersifat senyap tetapi berterusan, yang menuntut pendekatan responsif yang sama licik dan cermat untuk menanganinya.

Dalam konteks ini, penekanan terhadap domain sekuriti siber harus dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan cara fikir tentang sistem pertahanan serantau. Pendekatan konvensional tidak lagi mencukupi untuk menghadapi ancaman yang muncul dalam sela masa yang singkat, tanpa corak yang tetap. Keupayaan sekuriti siber membuka ruang untuk membina keupayaan bertindak balas yang jauh lebih awal, lebih tepat, dan lebih kontekstual.

Satu lagi medan yang menuntut perhatian serius ialah keselamatan maritim. Isu ini kekal sensitif dalam kalangan negara anggota, terutamanya disebabkan pertindihan tuntutan di Laut China Selatan. Kawasan ini bukan sekadar laluan perdagangan kritikal dunia, tetapi juga medan pertembungan kepentingan antara kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat dengan negara-negara ASEAN.

Malaysia Wajar Beri Perhatian Pada Impak dan Hasil

Cabaran sebenar ADMM dan ADMM-Plus bukan terletak pada ketiadaan idea atau resolusi. Masalah yang lebih mendasar adalah kesenjangan antara komitmen yang dipersetujui dan kesediaan untuk melaksanakannya secara berterusan dan berkesan. Keberkesanan serta rasa hormat pada platform ini sangat bergantung dengan keupayaan negara anggota, termasuk Malaysia selaku pengerusi untuk menggerakkan keputusan secara selaras dan terukur.

Malaysia yang kini memimpin pelbagai inisiatif penting tidak lagi berada pada posisi untuk sekadar menyumbang cadangan. Peranan kita kini mesti bertumpu kepada usaha membuktikan bahawa setiap gagasan yang dipersetujui mampu untuk kita pantau dan terjemahkan dengan baik serta memberi manfaat pada negara-negara anggota.

Jika asas pelaksanaan benar-benar diletakkan pada landasan yang kukuh, Dato’ Seri Mohamed Khaled akan berupaya menjadikan ADMM dan ADMM-Plus sebagai platform yang benar-benar dihormati. Beliau akan dilihat sebagai pengerusi yang benar-benar mampu memberikan pemikiran strategik, meletakkan kepentingan untuk memberi perhatian kepada isu-isu pertahanan bukan konvensional dan membawa ADMM dan ADMM Plus melangkah keluar daripada bayang retorik.

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Harga Bilik Hotel Dijangka Naik 10–15% Akibat Tarif Elektrik dan SST Baharu

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 – Kadar harga bilik hotel…

Labubu Didakwa Bawa ‘Tenaga Syaitan’? Netizen Kongsi Teori Konspirasi Aneh di Media Sosial

NEW YORK, 8 Julai 2025 – Fenomena mainan koleksi Labubu…