Fadhlina Raih Ketua Cabang Nibong Tebal, Nurul Izzah Menang Tanpa Saingan Di Permatang Pauh

19 April 2025
Sumber: Bernama

GEORGE TOWN, 19 April —

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berjaya merebut jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal dalam Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Cabang yang dijalankan serentak dengan pemilihan sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang hari ini.

Fadhlina, yang juga Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, memperoleh 677 undi, menewaskan dua pencabar iaitu Ketua AMK Nibong Tebal, Muttaqeen Mustafa yang menerima 335 undi dan Muhammad Navalan Abdullah yang mendapat 72 undi.

Keputusan rasmi dimuat naik di laman sesawang rasmi Pemilihan PKR 2025 pada malam ini di https://pemilihan.keadilanrakyat.org.

Ketika dihubungi oleh Bernama, Fadhlina menyifatkan kemenangannya itu sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan sebaiknya, sambil merakamkan penghargaan kepada ahli PKR Cabang Nibong Tebal yang memberi kepercayaan kepadanya.

“Fokus utama sekarang adalah memperkukuh struktur parti di peringkat cabang serta memastikan Nibong Tebal kekal sebagai kubu kuat PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, penyandang Ketua Cabang Nibong Tebal, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah memenangi jawatan Timbalan Ketua Cabang selepas meraih 551 undi, menewaskan dua pencabar lain.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, tidak dicabar dan mengekalkan jawatan Ketua Cabang Permatang Pauh tanpa pertandingan.

Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, yang juga menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, memenangi jawatan Ketua Cabang Tasek Gelugor dengan 412 undi, mengatasi lawannya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal (Timbalan Setiausaha Agung PKR), yang mendapat 319 undi.

Dalam perebutan Ketua Cabang Jelutong, Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang merangkap ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol tewas kepada penyandang jawatan, Datuk Johari Kassim. Fahmi hanya memperoleh 181 undi berbanding Johari yang menerima 208 undi.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, turut gagal merampas jawatan Ketua Cabang di kawasan itu.

Sebanyak 13,869 ahli PKR di negeri ini telah mendaftar untuk mengundi dalam pemilihan kali ini bagi memilih barisan kepimpinan baharu di 12 daripada 13 cabang. Pengundian dilakukan secara dalam talian oleh 13,542 orang dan secara fizikal oleh 327 ahli, dengan kadar keluar mengundi mencecah 85% setakat jam 5 petang.

Proses pengundian melibatkan Cabang PKR di Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Nibong Tebal, Tanjong, Bukit Bendera, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru, dan Balik Pulau. Satu-satunya cabang tanpa pertandingan ialah Batu Kawan, apabila penyandangnya, ADUN Bukit Tambun Goh Choon Aik serta pasukannya menang tanpa dicabar.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Sultan Brunei Rombak Kabinet, Pengiran Muda Abdul Mateen Dilantik Menteri Luar

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun — Sultan Brunei, Sultan Hassanal…

3 Warga Malaysia Ditahan Polis Singapura Kerana Ceroboh Perairan

SINGAPURA, 19 April (Bernama) — Tiga lelaki warganegara Malaysia berumur…