PUTRAJAYA, 29 Julai 2025 – Kerajaan kekal dengan pendirian mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati, sementara satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengadakan kajian menyeluruh terhadap pemansuhan hukuman mati secara total. Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan perkara tersebut dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat bertarik 21 Julai 2025 bagi pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Puan Syerleena Abdul Rashid, berkenaan hala tuju dasar kerajaan ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati dan komitmen Malaysia terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
🔎 Latar Belakang
Malaysia mula melaksanakan moratorium pada 2018, dan sejak itu tiada pelaksanaan hukuman mati dilakukan. Pada 2023, dua akta penting telah diluluskan:
- Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 [Akta 846]
- Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 [Akta 847]
Melalui Akta 847, 906 banduan akhir dikenal pasti layak memohon semakan, dan setakat Oktober 2024, hukuman bagi 863 orang telah diringankan.
📘 Langkah Terkini
Pada 9 Julai 2025, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas di bawah Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Jenayah (CLRC) untuk:
- Menilai hala tuju dasar secara menyeluruh
- Memastikan pendekatan berasaskan bukti (“evidence-based”)
- Mengambil kira pandangan keluarga banduan dan mangsa
🌐 Komitmen Antarabangsa
Malaysia juga menyokong resolusi moratorium hukuman mati oleh Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan sedang bergerak ke arah pematuhan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.