PUTRAJAYA: Madu kelulut berpotensi besar untuk berkembang sebagai komoditi baharu sekiranya diurus secara strategik dan sistematik, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau menyatakan bahawa berdasarkan data Jabatan Pertanian, Malaysia mencatatkan pengeluaran madu kelulut hampir 146,000 kilogram dengan nilai melebihi RM21 juta.
Selain digunakan sebagai makanan, madu kelulut juga berpotensi menjadi produk premium untuk pasaran eksport, termasuk dalam bentuk produk kosmetik dan suplemen kesihatan.
“Khususnya bagi madu kelulut ini, saya lihat potensinya sangat besar.
“Banyak produk hiliran boleh dihasilkan daripada madu kelulut, bukan sahaja untuk kecantikan dan kosmetik tetapi juga bagi tujuan kesihatan. Saya percaya ini juga merupakan peluang bagi komuniti di Putrajaya untuk terlibat dalam industri madu kelulut,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025, yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaliha turut mengumumkan pelancaran Pelan Induk Pertanian Bandar, yang merangkumi tiga teras utama serta 17 tindakan strategik.
Menurutnya, pelan ini membuka peluang lebih luas untuk penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pertanian bandar, sekali gus membolehkan penghasilan lebih banyak produk hiliran berkualiti tinggi dan menepati standard global.
“Unjuran nilai produk-produk ini sangat tinggi. Sebagai contoh, pada tahun lalu, kita berjaya mencapai nilai RM100,000.
Dr Zaliha
“Saya yakin pertanian bandar boleh terus diperluaskan. Buat masa ini, terdapat 10 kebun komuniti, dan dalam pelan tindakan akan datang, kita akan mempertimbangkan untuk memperluaskan inisiatif ini ke semua komuniti di Wilayah Persekutuan, khususnya Putrajaya dan Kuala Lumpur,” tambahnya.
HTPBKP 2025, yang berlangsung hari ini hingga esok, bertemakan Jom Bertani Komuniti Madani dan menyasarkan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung setiap hari.
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.- Astro Awani