Lu Pikir Lah, Nabil

6 Mac 2025

Oleh: Faiz Yahaya

Baru-baru ini, pelawak popular Malaysia, Nabil Ahmad, sekali lagi menjadi tumpuan kontroversi ekoran dakwaan menghina agama Hindu di dalam satu rakaman video di konti Radio ERA. Isu ini turut melibatkan rakan-rakan DJ beliau, Azad Jasmin dan Radin, yang dikatakan terpalit akibat lawaknya yang dianggap keterlaluan. Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan ramai pendengar, terutamanya masyarakat Hindu, yang menganggap lawak tersebut tidak sensitif dan menghina agama mereka.

Nabil dan Kontroversi: Tiada Penghujungnya?

Nama Nabil Ahmad bukanlah asing dalam dunia kontroversi industri hiburan Malaysia. Sejak mula mencipta nama dalam program Raja Lawak, Nabil sering dikaitkan dengan pelbagai isu yang menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang dalam kalangan penonton, antaranya adalah:

  1. Isu dengan Azwan Ali: Nabil pernah menyindir personaliti media hiburan, Azwan Ali ketika Azwan Ali melakukan comeback dalam bidang pengacaraan untuk program Lagu Cinta Kita
  2. Kontroversi Gegar Vaganza: Ketika mengacara program realiti Gegar Vaganza, Nabil dikritik kerana melakukan body shaming terhadap peserta. Beliau juga sering menyampuk juri ketika memberikan komen, yang dianggap tidak profesional dan mengganggu kelancaran program.
  3. Lawak Innuendo: Nabil juga sering menggunakan lawak yg bersifat sexual innuendo yang tidak sesuai dengan norma rakyat Malaysia

Persoalannya, sampai bilakah Nabil akan terus terpalit dengan kontroversi sebegini? Seolah-olah beliau tidak pernah belajar dari kesilapan terdahulu. Tidak kurang juga, mengapakah stesen penyiaran Astro, selalu memberi muka kepada beliau?

Hakikatnya, lawak Nabil sering dianggap regresif dan tidak membawa sebarang mesej positif. Berbeza dengan pelawak dari negara jiran seperti Indonesia, yang lebih banyak menggunakan platform mereka untuk mengkritik isu sosial dan politik, Nabil lebih cenderung untuk melawak dengan cara yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

Nabil bersama Azwan Ali; Sumber: My Metro

Kesan Terhadap Rakan Sekerja

Kali ini, lawak Nabil bukan sahaja menimbulkan kemarahan dalam kalangan pendengar, malah turut mengganggu periuk nasi rakan sekerjanya, Azad dan Radin. Kedua-dua DJ tersebut terpaksa berdepan dengan kritikan dan tekanan ekoran lawak Nabil yang dianggap tidak bertanggungjawab. Ini menunjukkan bahawa tindakan Nabil bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya sendiri, tetapi juga kepada orang di sekelilingnya.

Wake Up Call untuk Nabil

Sudah tiba masanya untuk Nabil Ahmad melakukan muhasabah diri dan mengambil langkah serius untuk memperbaiki dirinya. Beliau perlu sedar bahawa sebagai seorang personaliti awam, setiap perkataan dan tindakannya akan memberi kesan kepada masyarakat. Lawak yang menghina agama, budaya, atau individu lain bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Nabil perlu memikirkan semula pendekatannya dalam melawak dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas setiap tindakannya. Masyarakat Malaysia mengharapkan personaliti awam seperti Nabil untuk menjadi contoh yang baik, bukan sekadar pelawak yang gemar mencipta kontroversi. “Lu Pikir Lah Sendiri, Nabil”

Faiz Yahaya adalah pembaca Naratif Online. Pandangan yang dikongsikan adalah pandangan penulis dan tidak mewakili Naratif Online.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Mahkamah Tinggi Arah Kes Rewcastle-Brown Fitnah Sultanah Terengganu Didengar Semula

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengarahkan kes fitnah melibatkan Clare Rewcastle-Brown…

Kenaikan Tarif Elektrik: Kos PKS Naik Sehingga 20%, Harga Barangan Dijangka Meningkat

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 – Mulai 1 Julai, tarif…