ISKANDAR PUTERI, 30 Jun 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 di Zon Selatan, dengan pelancaran rasmi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang bertemakan “Jom Beli Lokal”.
Program selama tiga hari ini bermula pada 27 hingga 29 Jun 2025 dan berlangsung di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor. Ia merupakan langkah awal bagi siri jelajah enam zon tahun ini, melibatkan Johor (Zon Selatan), Kedah (Zon Utara), Pahang (Zon Timur), Selangor (Zon Tengah), Sabah dan Sarawak.
Kempen ini bertujuan menggalakkan sokongan berterusan terhadap produk tempatan serta mempromosikan barangan Malaysia sebagai pilihan utama pengguna. Ia juga selaras dengan agenda memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik dan memberi peluang lebih luas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menjangkau pasaran lebih besar.
Menurut KPDN, inisiatif ini bukan sahaja memaparkan kualiti produk tempatan, malah berupaya mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.
Pendekatan yang digunakan ialah pendekatan menyeluruh negara atau “whole-of-nation”, dengan kerjasama antara kementerian, agensi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semua pihak akan memainkan peranan dalam mempromosi pembelian produk buatan Malaysia.
Dengan lebih 761,000 pengunjung direkodkan pada tahun 2024, KPDN menjangkakan sambutan lebih besar tahun ini dan berharap ia mampu memberikan lonjakan kepada pembangunan ekonomi lokal serta kebanggaan terhadap jenama tempatan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata,
“Inisiatif Jom Beli Lokal bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi domestik, malah mencerminkan keupayaan rakyat Malaysia untuk berdikari dan menyokong produk tempatan yang berkualiti tinggi. Kita ingin wujudkan satu budaya kebanggaan terhadap jenama Malaysia.”