Ekosistem Kebajikan ATM Mesti Pelbagai dan Bersifat Menyeluruh.

Oleh: Asriezam Uda
9 Julai 2025
Foto: FB Rasmi Dato Seri Khaled Nordin

Pada Jun 2022, kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhimpun di Tugu Negara bagi menuntut agar kerajaan segera menangani isu kebajikan mereka yang didakwa kian terabai. Dua bulan selepas itu, pada Julai 2022, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Kapten (Bersara) Datuk Sharuddin Omar pula mendedahkan statistik mengejutkan bahawa hampir 60 peratus veteran ATM berada dalam situasi ekonomi yang sukar dan memerlukan bantuan segera.

Kedua-dua situasi ini menggambarkan dengan jelas realiti getir yang dihadapi oleh para veteran selepas menamatkan perkhidmatan mereka dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Himpunan di Tugu Negara tersebut boleh dianggap sebagai manifestasi keterdesakan hidup yang menjadi jalan terakhir bagi memastikan suara mereka didengari. Yang penting, kita belajar bahawa isu kebajikan dan soal kesejahteraan hidup pasca perkhidmatan ATM adalah satu isu besar. Ia mesti diuruskan dengan cara yang transformatif, memberi impak jangka panjang dan tidak bersifat bermusim.

Inisiatif Transformatif Beri Kesan Jangka Panjang

Isu kebajikan warga ATM sebenarnya tidak boleh hanya dihadkan kepada isu pencen veteran ATM. Ia sebenarnya mencakupi pelbagai lagi aspek lain. Ini termasuklah, kebajikan isteri / suami anggota ATM, kebajikan anak-anak ATM dan bantuan persekolahan, kemudahan tempat tinggal yang selesa, tanggungan perubatan serta pelbagai aspek lain. Tidak pelik jika ada pihak yang berpandangan bahawa, sebenarnya elemen dan cakupan kebajikan kepada anggota ATM dan warganya adalah antara yang paling menyeluruh, pelbagai dan teratur.

Namun, semua ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk perkara tersebut tidak terus ditambah baik dan diperkemas.

MINDEF melalui Fokus Keempat dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 kementerian itu yang dibentangkan oleh YB Menteri Pertahanan Dato Seri Mohamed Khaled Nordin, telah membuat penegasan yang kebajikan para veteran akan terus diperkukuh melalui pengenalan pelbagai inisiatif baharu yang lebih menyeluruh. Transformasi kebajikan ATM yang diumumkan oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled ini dilihat agak mendasar dan menyentuh isu sebenar.

Antara yang diumumkan oleh beliau termasuklah, semakan ke atas kadar dan cakupan Faedah Hilang Upaya (FHU) yang memperlihatkan satu anjakan yang sangat signifikan. Pemberian pencen kepada semua darjah kecederaan, tanpa pengecualian, mengangkat semula prinsip keadilan dalam sistem sedia ada yang selama ini tidak menyeluruh. Malah, Menteri Pertahanan turut menjelaskan yang transformasi kebajikan veteran ini turut dilengkapkan dengan kenaikan Elaun Pelajaran untuk anak-anak penerima pencen, kenaikan elaun layanan sentiasa dan pengenalan Ganjaran Hilang Upaya Disebabkan Oleh Kecederaan Semasa Tugas Aktif (Wounded In Action). Pada Mac 2025, seramai 292 veteran ATM menerima ganjaran GHU dengan peruntukan kira-kira RM9.7 juta.

Kementerian Pertahanan dan pihak yang bertanggungjawab menguruskan aspek kebajikan anggota dan veteran ATM mesti sedar akan beberapa perkara.

Pertama, dalam aspek kesejahteraan sosial, rangkaian kebajikan dan inisiatif yang dibuat mesti merentas pemberian bantuan yang bersifat bermusim.

Sebaliknya, program kebajikan yang disusun mestilah transformatif. Ia mesti bersifat membina kapasiti diri, membantu merapatkan jurang sosio-ekonomi serta mempunyai kesan jangka panjang. Sentuhan kebajikan seperti ini adalah lebih sesuai dan sangat diperlukan.

Warga ATM mesti dibantu untuk berhadapan dengan cabaran masa depan yang semakin kompleks, realiti kos sara hidup yang sentiasa meningkat serta kepentingan membina keupayaan untuk bersaing dengan masyarakat di luar dalam lingkungan masa depan yang tidak menentu.

Dalam hal ini, terdapat beberapa langkah strategik yang dipelopori oleh Menteri Pertahanan, yang dilihat memenuhi kriteria penting ini apabila beliau menegaskan yang program-program kebajikan tidak boleh sekadar bersifat ‘ribbon-cutting’. Sebaliknya, kesemua program tersebut mesti lebih terarah kepada inovasi kebajikan yang menjadikan pendidikan serta ruang pemerkasaan kemahiran sebagai sandaran utama.

Bertitik tolak daripada pendirian seperti ini, terdapat beberapa program MINDEF yang dilihat telah beliau ubah dan dipastikan bersifat jangka panjang. Misalnya, Program Simpanan Pendidikan MADANI yang mewajibkan pembukaan akaun PTPTN bagi semua anak-anak ATM yang mula memasuki tahun 1 persekolahan. Inisiatif yang bersifat arahan wajib tersebut nyata mempunyai kesan jangka panjang yang sangat bermakna. Ia bukan sahaja mengukuhkan komitmen anggota ATM untuk memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak mereka. Tetapi turut menyuburkan persaingan dalam kalangan anak-anak ATM untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dibudayakan sejak kecil.

Selain itu, inisiatif seperti tuisyen dalam talian percuma melalui e-Perkasa SPM, serta pemberian Chromebook kepada semua calon SPM dalam kalangan anak ATM  yang dilaksanakan dengan kerjasama guru-guru terlatih dari UPSI merupakan antara contoh lain pendekatan kebajikan yang bersifat transformatif. Ini kerana, peperiksaan SPM merupakan antara persimpangan paling genting dalam sistem pendidikan Malaysia. Memberi pendedahan, intervensi dan kelas tambahan yang diperlukan oleh para calon akan sangat membantu mereka berhadapan dengan peperiksaan yang penting ini. Kecemerlangan anak-anak daripada warga ATM dalam SPM akan menjadi satu lonjakan yang besar dalam kehidupan mereka. Ia bersifat jangka panjang. Paling penting, ia membuka ruang baharu kepada sebuah masa depan yang lebih baik.

Melalui inisiatif baharu seperti Program Kem MADANI yang menerima peruntukan sebanyak RM10 juta misalnya, persekitaran hidup di dalam kem-kem tentera di seluruh dunia akan berubah wajah. Pengenalan projek komuniti seperti penternakan madu kelulut, penanaman cendawan, hidroponik dan pertanian bandar menjadi pemangkin dalam merangsang pendapatan isi rumah warga ATM.

Tidak terkecuali, peluang latihan kemahiran dan bimbingan keusahawanan melalui kolej komuniti berhampiran kem juga diperkenalkan. Penawaran kursus yang dibiayai penuh oleh Yayasan LTAT dan rakan strategik seperti Pharmaniaga memberikan ruang yang lebih luas untuk warga ATM menambah nilai diri dan menyumbang secara lebih aktif dalam ekonomi domestik.

Intervensi seperti ini bukan sahaja menjadikan kehidupan warga di dalam kem tentera lebih selesa. Akan tetapi, pelbagai pengisian yang bersifat transformatif dengan impak jangka panjang sudah pasti akan boleh mengeratkan silaturahim sesama warga kem selain membuka peluang pulangan ekonomi. Kesemua ini adalah bentuk program-program kebajikan yang nyata lebih bermakna dan mempunyai impak yang dapat dirasakan oleh golongan sasar.

Inovasi Dalam Program Kebajikan

Kerajaan harus sedar bahawa agenda kebajikan warga ATM tidak boleh sekadar berkisar kepada bantuan kewangan dan material. Ia mesti disusun dengan cara yang menyeluruh, merangkumi penghargaan terhadap maruah dan harga diri serta mengambil kira cabaran masa hadapan.

Iltizam Menteri Pertahanan, Dato Seri Khaled Nordin yang tampak jelas akan keperluan mentransformasikan agenda kebajikan warga ATM, mesti dijayakan dengan kesediaan semua pihak untuk memikirkan idea dan pendekatan baharu.

Sekiranya perkara ini benar-benar diterjemahkan Malaysia bukan sahaja berupaya menyelesaikan krisis kebajikan veteran ATM, malah mampu mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi negara contoh dalam aspek kebajikan ketenteraan di rantau Asia Tenggara.

Penulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak (Sosioekonomi), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Malaysia Diancam Krisis Bekalan Darah – Simpanan Tabung Darah Negara Pada Tahap Kritikal

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 – Malaysia kini berdepan ancaman…

Saintis Temui Dua Gunung Rahsia 100 Kali Lebih Tinggi daripada Gunung Everest

AMSTERDAM: Sekumpulan saintis berjaya menemui dua gunung tersembunyi yang dikatakan…