KUALA LUMPUR, 21 April – Hospital Medan Malaysia (HMM) yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula beroperasi hari ini di daerah Sagaing, Myanmar dan menarik perhatian ramai apabila menerima pesakit tanpa henti dari kawasan berhampiran.
Dalam kenyataan rasmi, Markas ATM memaklumkan bahawa HMM ini diwujudkan sebagai sebahagian daripada Operasi Bantuan Kemanusiaan, Operasi Starlight III. Hospital medan tahap dua ini menyediakan 20 katil dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk wad, bilik bedah, unit rawatan rapi (ICU), makmal, serta kemudahan radiologi. Hospital ini turut menyediakan dua kepakaran utama iaitu pembedahan am dan ortopedik.
Menurut kenyataan itu, pembedahan pertama telah berjaya dijalankan pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia), sejurus selepas hospital mula beroperasi.
“Hospital ini mampu mengendalikan pelbagai rawatan kecemasan termasuk prosedur pembedahan yang kompleks dan rawatan menyeluruh pesakit. Malah, ia berupaya melakukan dua pembedahan dalam masa yang sama,” jelas kenyataan itu.
Selain perkhidmatan pembedahan, HMM juga menyediakan rawatan klinik pesakit luar dan dijangka menerima antara 80 hingga 100 orang pesakit dari komuniti sekitar setiap hari.
Majlis pembukaan operasi turut dihadiri Ketua Menteri Wilayah Sagaing, Myint Naing serta Leftenan Jeneral Thet Pon yang merupakan Panglima Biro Operasi Khas Wilayah Yangon.
Sebelum ini, pada 18 April, pasukan perubatan ATM telah dihantar ke Myanmar sebagai misi bantuan kemanusiaan susulan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku pada 28 Mac lalu.