SHAH ALAM – Beberapa selebriti, termasuk artis dan ikon tempatan, kini dalam perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman yang meragukan.
Menurut sumber, individu berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat perunding kewangan yang bersekongkol dengan pegawai bank tempatan untuk menipu peminjam, termasuk penjawat awam, melalui skim pinjaman bertindih.
Sumber tersebut turut mendedahkan bahawa penglibatan selebriti ini dikaitkan dengan penahanan lapan pengarah syarikat serta 18 pegawai bank dalam operasi khas SPRM, Ops Sky, baru-baru ini.
“Selebriti ini menerima bayaran sehingga ratusan ribu ringgit bagi menggunakan wajah mereka dalam kempen untuk meyakinkan orang ramai menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Ada antara mereka yang dilantik sebagai duta rasmi dan menerima bayaran sehingga RM400,000,” katanya pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa selebriti yang terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Siasatan kini menjurus kepada pembabitan selebriti ini kerana mereka dipercayai menerima bayaran dalam jumlah besar selepas dilantik sebagai duta kempen yang dijalankan.
“Buat masa ini, mereka masih belum dipanggil, tetapi dijangka beberapa individu dalam kalangan artis akan dipanggil untuk memberi keterangan,” ujarnya pada Ahad.
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.- Muhammad Aminnuralif, Sinar Harian