Ketika menyampaikan syarahan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di ibu negara baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengupas dengan mendalam dan terbuka beberapa realiti pertahanan negara.
Kebanyakan isu dibawa bukan sahaja bersifat realiti, tetapi menuntut semua pihak untuk memberi perhatian apatah lagi apabila huraikan dengan cara merentas konteks tanggungjawab penjawat awam.
Secara rumusannya, syarahan terbabit menjurus kepada tiga aspek realiti pertahanan negara.
Pertama, cabaran dan konteks pertahanan serta kedaulatan sudah sangat berubah.
Ini satu perkara tidak disedari banyak pihak khususnya orang awam yang sering beranggapan pertahanan adalah soal perang dan pertempuran bersenjata.
Namun, Mohamed Khaled menghuraikan perubahan iklim, krisis pelarian, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan serangan siber juga antara cabaran baharu kepada pertahanan negara.
Kedua, beliau menjelaskan betapa rantau ASEAN adalah tumpuan dan rebutan dunia namun ramai orang di luar sana beranggapan Asia Tenggara adalah rantau ketinggalan, tidak maju dan kurang menjadi perhatian dunia.
Hakikatnya, Asia Tenggara adalah rantau sedang berkembang maju, berpotensi besar serta mempunyai tarikan tersendiri khususnya kepada kuasa besar dunia terutama Amerika Syarikat (AS) dan China.
Seminar On Urbanisation dihadiri penulis selama sebulan tajaan Kementerian Luar China di Shanghai pada 2020, dapat dilihat dengan jelas China sangat bercita-cita besar melebarkan pengaruh serta cengkamannya dalam pelbagai bidang khususnya pengaruh ekonomi dan kekuatan ketenteraan di rantau ini.
Jelas sekali, rantau ASEAN tidak seharusnya dilihat secara remeh semua pihak khususnya rakyat kita. Lihat sahaja Indonesia. Negara jiran ini menjadi ekonomi besar sedang berkembang naik dengan agenda pemodenan ketenteraan yang tidak seharusnya dipandang ringan.
Perkara ini sudah pasti akan memberi ‘perencah’ tersendiri kepada ASEAN. Begitu juga dengan isu Myanmar masih berlarutan serta ketegangan di Selat Taiwan nampaknya tidak akan reda dalam masa terdekat. Sudah pasti semua ini menyebabkan banyak kuasa besar di luar sana memandang rantau ini dengan serius dan penuh minat.
Apa yang pasti, semua perkembangan ini akan memberi satu cabaran besar kepada Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.
Perkongsian ketiga adalah perkara yang boleh dilihat sebagai mesej paling besar dan utama iaitu, betapa pertahanan dan kedaulatan negara adalah sesuatu rumit, besar dan menelan kos tinggi.
Mohamed Khaled dalam syarahannya turut menegaskan kos untuk memastikan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara adalah besar. Perkara ini sekali gus menyanggah anggapan sesetengah pihak Malaysia tidak perlu berbelanja besar dalam aspek pertahanan kerana kononnya tidak berada dalam situasi perang atau mempunyai apa-apa konflik.
Operasi sepanjang tahun di seluruh negara
Beliau menegaskan, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjalankan kira-kira 43 operasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun di seluruh negara.
Semua operasi dilaksanakan ini sangat intensif dan menggunakan segala aset seperti pesawat dan radar bagi melakukan pemantauan serta memastikan sebarang bentuk pencerobohan dapat dikesan, seterusnya dikekang dengan segera.
Selain itu, pasukan keamanan kita dilaporkan sentiasa menjalankan pelbagai latihan dan kerjasama pada peringkat tempatan mahupun bersama negara asing. Latihan peringkat tempatan merangkumi 47 latihan tunggal, tiga latihan bersama dan 12 latihan bersepadu. Manakala latihan bersama negara asing meliputi 42 latihan bilateral dan 28 latihan multilateral.
Malaysia turut terbabit dengan operasi bersama negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand. Bagi memastikan keselamatan maritim di Selat Melaka pula, inisiatif Pemantauan Selat Melaka (MSP) dijalankan dengan kerjasama negara jiran terbabit secara berterusan. Maka, tidak pelik jika semua itu akan memerlukan kos besar dan sentiasa diberikan perhatian sekali pun ketika berada dalam keadaan aman.
Pendedahan serta perkongsian melalui syarahan menteri seperti ini memberi satu perspektif baharu sangat penting, setidak-tidaknya mengingatkan kita keamanan dikecapi hari ini tidak datang bergolek. Ada pihak sedang bergadai nyawa di perbatasan negara. Ada strategi sedang dirancang dan ada operasi sentiasa berjalan tanpa kita ketahui.
Perkongsian maklumat bagaimana pasukan keselamatan melaksanakan rutin dan tanggungjawab secara senyap serta sulit membawa keluar daripada kepompong pemikiran serta fokus selalu hanya tertumpu dalam bidang dan pengetahuan dimiliki sahaja.
Dalam konteks membangunkan negara secara bersama-sama, sudah pasti pengetahuan dan pemahaman berkenaan dasar serta fungsi merentas kementerian dan agensi akan dapat membantu kita untuk memberikan pandangan lebih bersifat praktikal, efektif dan menyeluruh.
Yang pasti, setiap kali kita menyedut udara aman dan nikmat kesejahteraan dikecapi, harus diingat ada pihak sedang berkorban dan mempertaruhkan nyawa dengan penuh setia dan berani.
Penulis adalah Timbalan Dekan (Bakat & Penyelidikan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu