Pada tahun 2022, tinjauan dalaman oleh Jabatan Pertahanan yang dilaporkan oleh saluran berita NBC mendapati hanya sembilan peratus daripada warganegara yang layak berumur 17 hingga 24 tahun berhasrat untuk berkhidmat dalam angkatan tentera Amerika Syarikat. Laporan tersebut turut mendedahkan yang lebih separuh (57 peratus) daripada mereka yang menyertai pasukan tentera beranggapan yang mereka akan mengalami masalah emosi atau psikologi. Angka yang sama menyatakan kebimbangan risiko mengalami kecederaan teruk atau pelbagai bentuk masalah fizikal.
Dalam konteks tempatan, pada Jun 2023, Panglima Tentera Darat (PTD) ke-29, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman menyatakan bahawa kajian yang dijalankan oleh ATM mendapati sebahagian besar warga Malaysia berasa ragu untuk menyertai kerjaya tentera disebabkan oleh risiko yang tinggi. Perkara tersebut turut disumbangkan oleh faktor utama yang lain. Ini termasuklah ganjaran gaji yang dilihat tidak setimpal dengan risiko tersebut.
Situasi di Amerika Syarikat menggambarkan kebimbangan terhadap kesan emosi dan fizikal yang lebih dominan, dengan tumpuan kepada kesan jangka panjang perkhidmatan tentera terhadap kesejahteraan mental dan fizikal. Sebaliknya, di Malaysia, kebimbangan lebih tertumpu kepada ketidakseimbangan antara sistem penawaran dan risiko yang perlu dihadapi dalam perkhidmatan, dengan penekanan kepada aspek keseimbangan bayaran serta kesejahteraan anggota tentera. Dengan erti kata mudah, kerjaya tentera berada pada dilema manfaat dan ganjaran yang boleh dikatakan sebagai tidak menarik dan tidak berdaya saing.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilihat sedar akan isu ini dan mula mengatur langkah awal untuk menangani kebimbangan tersebut. Ini demi memastikan kerjaya ATM diangkat sebagai pilihan profesional yang bukan sahaja berteraskan patriotisme dan keinginan menyumbang kepada negara, tetapi turut mempunyai daya saing tersendiri sekali gus menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertainya.
Usaha Semasa Memperkasa Kerjaya Tentera
Jika diukur melalui Belanjawan 2025 dan perutusan tahun baharu Menteri Pertahanan, YB Dato Seri Khaled Nordin, MINDEF sedang mengorak beberapa langkah penting.
Pertama adalah Program Work-Based Learning (WBL), inisiatif khas yang memberi peluang kepada anggota ATM untuk mendapatkan pengiktirafan akademik berdasarkan pengalaman kerja mereka. Melalui kerjasama dengan universiti terkemuka seperti UiTM, UTHM, dan UPNM, pengalaman yang diperoleh dalam perkhidmatan tentera kini dapat diterjemahkan ke dalam diploma profesional dalam bidang seperti Seni Kulinari dan Pengurusan Hotel. Secara logiknya, dengan adanya pengiktirafan akademik ini, anggota ATM diharap dapat meningkatkan mobiliti kerjaya dan bersaing dalam sektor-sektor yang lebih luas selepas tamat perkhidmatan.
Kedua, memperkasa hubungan strategik dengan industri demi memastikan peralihan kerjaya anggota ATM ke sektor swasta berjalan dengan lancar. Seperti yang diketahui umum, anggota tentera mempunyai proses dan program peralihan yang sistematik, khususnya yang dikendalikan oleh PERHEBAT. Program peralihan ini merupakan satu tempoh bagi menyediakan anggota tentera yang sedang menghabiskan perkhidmatan dalam sektor pertahanan dan ketenteraan bersedia menyertai masyarakat sebagai orang awam. Dalam hal ini, pendedahan serta latihan yang berkesan adalah sangat penting bagi memastikan mereka berpeluang membina kerjaya kedua yang baik.
Kerjasama dengan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) misalnya, akan membantu bakal pesara ATM ini mendapat lebih banyak peluang pekerjaan di syarikat-syarikat terkemuka. Malah, MINDEF, PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwan Veteran dilihat rancak mengadakan hubungan industri seperti Micron Technology, Western Digital, FedEx, Jabil, dan Penang Port Sdn. Bhd. yang menawarkan tawaran kerja dengan gaji yang lebih kompetitif dan lumayan.
Keutamaan diberikan kepada anggota ATM yang mempunyai kepakaran dalam bidang seperti kejuruteraan, keselamatan, pengurusan logistik, dan perkhidmatan sokongan. Ini memastikan bakat-bakat veteran dipelihara dan dalam masa yang sama membantu sektor swasta mendapatkan tenaga kerja yang kompeten.
Ketiga, memperkenal dan menambahbaik Program PROTEGE ATM yang kini dikenali sebagai PRO WIRA. Inisiatif memberi fokus kepada dua kumpulan utama iaitu graduan anak tentera yang ingin mendapatkan pengalaman industri dan veteran yang ingin meneroka kerjaya kedua. Melalui program PRO WIRA, peserta akan ditempatkan secara langsung ke dalam industri berdasarkan kelayakan dan kemahiran yang dimiliki. Program ini memberikan mereka peluang untuk menambah pengalaman yang relevan dalam sektor yang mereka ceburi. Pada masa yang sama, kerajaan turut memberikan jaminan bahawa peserta PRO WIRA akan menerima pendapatan minimum RM2,000 sebulan selama setahun, yang memberikan kestabilan kewangan semasa peralihan kerjaya mereka.
Keempat, bagi melengkapkan ekosistem perkhidmatan ATM, MINDEF juga komited memberikan tumpuan khusus kepada kebajikan para veteran dan pemeliharaan bakat yang sekian lama menjadi kegusaran para anggota kebayakan. Melalui inisiatif seperti pengambilan renjer komuniti dan program PROTEGE-Veteran, veteran ATM diberi peluang untuk terus menyumbang kepada sektor keselamatan dan pembangunan melalui kepakaran dan kemahiran sedia ada.
Perlu Usaha Berterusan
Sekali pun program dan inisiatif yang disebutkan ini adalah baik dan sedikit sebanyak membantu menjadikan perkhidmatan ATM lebih menarik. Namun, keseluruhan ekosistem perkhidmatan ATM itu mesti terus diperhalusi. Jika dilihat kepada trend global, usaha mentransformasi dan memperkukuh kerjaya tentera sememangnya sedang mendapat perhatian banyak kerajaan di hampir kebanyakan negara. Perkara ini demikian memandangkan isu kurangnya minat terhadap kerjaya ketenteraan dalam kalangan golongan muda merupakan satu isu global yang serius. Perkara ini menuntut rangkaian usaha yang tersusun dan berterusan.
Usaha MINDEF untuk mentransformasi persepsi dan tawaran sebenar kerjaya  agar ia menjadi kerjaya pilihan mesti sentiasa disesuaikan dengan keadaan. Sekali pun diakui bahawa proses mengubah persepsi golongan muda terhadap kerjaya ketenteraan bukanlah sesuatu yang mudah dan sangat memerlukan kerjasama semua pihak, namun dengan pendekatan serta strategi yang betul, impaknya pasti akan dapat dilihat. ATM mesti mempunyai data serta penelitian pasaran yang lengkap jika ia mahu dilihat sebagai majikan pilihan yang berdaya saing, berprestij, dan mampu memberi manfaat kepada perkembangan serta kebajikan anggotanya.
Semua pihak harus sedar, pemangkin utama kepada pembangunan modal insan yang lebih inklusif tidak semestinya pada ganjaran atau imbuhan gaji yang lumayan. Antara perkara lain yang mesti turut diberikan perhatian termasuklah, perkembangan dan peluang pembinaan kapasiti, program peralihan yang teratur, ekosistem persaraan yang terjamin, persekitaran kerja yang kondusif dan profesional, cakupan manfaat kepada ahli keluar.
Semua ini adalah faktor-faktor tidak langsung yang sangat memberi kesan penting kepada pemilihan kerjaya. Pendekatan bersepadu seperti ini, jika diperkemas dan diberikan perhatian serius, bukan sahaja menambah nilai kepada ATM itu sendiri, tetapi juga memberi impak positif kepada negara dalam menghadapi cabaran masa depan yang memerlukan pemimpin yang berdaya saing dan berkualiti tinggi di pelbagai peringkat.
Penulis, sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Universiti Kebangsaan Malaysia.