Siri 1: Berhujah Bukan Bertengkar

oleh:
Mizan binti Muhammad,
Pensyarah Jabatan Undang-undang, Pusat Asasi UIAM
28 September 2025

Dalam dunia yang semakin sarat dengan pertelingkahan politik, perbezaan ideologi, dan gelombang emosi di media sosial, kemampuan berhujah secara rasional bukan sekadar keperluan intelektual—ia adalah keperluan sosial. Ini kerana kemampuan mengemukakan dan menilai hujah secara kritis merupakan antara asas penting kepada pembinaan masyarakat yang matang, adil, dan harmoni.

Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang didasari toleransi dalam perbezaan, persamaan dalam kepelbagaian sewajarnya menjadikan budaya berhujah secara matang sebagai teras pembinaan bangsa. Bangsa yang matang berhujah berdasarkan ilmu dan mencari kebenaran sebagai tujuan utama, melebihi segala yang lain. Kebebasan bersuara dipelihara dengan sikap keterbukaan untuk berdialog secara konstruktif, bukan sebagai medan pertempuran ego, saling menuduh dan menuding, membuka pekung mencari siapa yang paling bersalah.

Kemahiran Berhujah sebagai Keperluan Sosial

Ahli falsafah pendidikan seperti Jürgen Habermas menegaskan bahawa masyarakat demokratik hanya dapat bertahan apabila warganya bersedia terlibat dalam communicative action, iaitu wacana yang berteraskan hujah rasional, saling menghormati, dan mencari titik persetujuan (Habermas, 1984). Tanpa budaya berhujah, perbezaan pandangan akan mudah bertukar menjadi konflik emosi yang memecahbelahkan masyarakat.

Kajian kontemporari dalam bidang pendidikan juga menunjukkan bahawa kemahiran berhujah memberi kesan langsung kepada keupayaan sosial. Kuhn (1991) dalam bukunya The Skills of Argument menegaskan bahawa kemahiran berhujah adalah asas kepada civic engagement — keterlibatan aktif rakyat dalam isu sosial dan politik. Tanpa kemahiran ini, masyarakat mudah terjebak dalam retorik kosong, propaganda, dan berita palsu yang merosakkan kepercayaan sosial.

Dari perspektif Islam, berhujah secara rasional dengan adab bukan hanya keperluan ilmu, tetapi juga syarat untuk membina persaudaraan. Al-Quran menekankan prinsip berdebat dengan cara yang terbaik dan penuh hikmah sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Nahl:125. Tafsiran ulama’ seperti al-Razi menegaskan bahawa adab berhujah berfungsi sebagai benteng untuk mengelakkan perselisihan bertukar menjadi perpecahan. Dengan kata lain, berhujah dengan adab adalah mekanisme sosial untuk memelihara keharmonian dalam masyarakat yang berbilang pandangan.

Tambahan pula, dalam konteks moden, para sarjana komunikasi menegaskan bahawa kemahiran berhujah adalah prasyarat kepada deliberative democracy — demokrasi yang berfungsi melalui dialog awam yang rasional. Chambers (2003) menulis bahawa demokrasi deliberatif hanya boleh dicapai apabila warganya memiliki kemampuan untuk menilai bukti, menyusun hujah, dan memberi alasan secara terbuka.

Berhujah Mencari Kebenaran

Dalam konteks akademik dan keilmuan Islam, hujah ditakrifkan sebagai proses menyampaikan alasan atau bukti secara logik untuk menyokong sesuatu dakwaan. Apabila berhujah kita tidak melihat kepada jeritan siapa yang lebih kuat, jauh sekali dengan cara memperlekehkan atau melancarkan serangan peribadi terhadap individu yang berbeza pendapat atau pihak lawan. Sebaliknya, hujah yang sahih datang bersama adab, struktur logik, dan niat ikhlas untuk mencari kebenaran (al-ḥaqq). Malah Islam hadir bukan sekadar sebagai agama wahyu, tetapi juga agama hujah. Buktinya jelas apabila Allah mewahyukan Al-Qur’an menggunakan gaya dialog dan logik, bukan sekadar perintah dan larangan.

Dakwah nabi Muhammad ﷺ juga sering menggunakan pendekatan ini. Dalam banyak hadis, Baginda memberi ruang kepada lawan bicara, mendengar, kemudian menjawab dengan tenang dan hujah yang kukuh. Pun begitu, Baginda pernah bersabda mengingatkan para pengikutnya tentang perangkap debat egoistik yang merosakkan sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis sahih;

“Aku menjamin sebuah rumah di syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia berada di pihak yang benar.”
(Hadith Riwayat Muslim, no. 2588)

Realiti Kita Bagaimana?

Dunia media sosial menunjukkan beberapa petanda bahawa kita semakin jauh dari budaya hujah. Ini kerana debat awam didominasi emosi, bukan fakta, perbezaan pandangan dilabel sebagai “musuh”. Lebih parah, platform sosial menjadi tempat menyalurkan dendam, bukan mencari kebenaran. Kesannya? Kita gagal berbincang isu-isu penting seperti ekonomi, pendidikan, dan keadilan sosial secara matang.

Lihat sahaja bagaimana isu kontroversi terkini melibatkan tragedi menyayat hati kematian adik Zara Qairina menimbulkan reaksi yang lebih bersifat serangan peribadi daripada perbincangan rasional, menghentam dan menyalahkan malah mengaibkan individu tertentu menjadi agenda utama. Memberi nasihat tetapi dengan nada menghukum. Betapa ia bukti kelemahan budaya berhujah yang semakin membarah.

Berbeza pandangan adalah perkara biasa, tetapi mengejek, memperlekeh, atau menyerang peribadi bukan budaya ilmu dalam Islam. Kita perlu belajar menyampaikan kebenaran tanpa menjatuhkan maruah.

Hujah bukan hanya seni bercakap—ia seni mendengar, menimbang, dan memahami. Dalam masyarakat yang semakin berpecah, kita tidak perlukan lebih ramai pendebat; kita perlukan lebih ramai pendengar berakal dan penghujah beradab. Sudah sampai masanya kita kembali menghidupkan seni berhujah, bukan untuk mencari siapa yang menang, tetapi untuk membina jalan menuju pemahaman dan perpaduan. Kerana seperti kata Imam Syafie: “Aku tidak pernah berbincang dengan seseorang melainkan aku berdoa agar Allah menzahirkan kebenaran melalui lidahnya.

2 Comments Tinggalkan Balasan

  1. Penulisan yang begitu menyentuh realiti kepincangan dalam berhujah. Moga kita semua dapat memperbaiki adab dalam berhujah dalam mengekalkan keharmonian dalam negara yg mengamalkan prinsip demokrasi.

  2. Indeed, the world is becoming more polarised with contstant bickering & endless argument where parties are adamant on their standpoint . Instead by understanding & practicing the art of discussion & seeking truth one progresses as there is constant flow of knowledge and the ability to filter what is truth and not

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Serangan Bom Bunuh Diri di Gereja Mar Elias, Damascus – Sekurang-kurangnya 20 Terbunuh

DAMASCUS, 23 Jun 2025 – Sebuah serangan kejam melibatkan pengeboman…

AIM24: Malam Gemilang Muzik Malaysia, Biduanita Negara Siti Nurhaliza Dinobat Sri Wirama

Arena of Stars, Genting Highlands – 13 September 2025 Malam…