KUALA LUMPUR, 20 Jun 2025 – Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, bakal bersara selepas 40 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan ketenteraan, menurut laporan New Straits Times.
Beliau yang digelar sebagai ‘Top Gun’ Malaysia dalam kalangan anggota TUDM, memulakan kerjaya pada tahun 1985 dan dikenali dengan kepakaran dalam operasi taktikal udara serta ketegasan kepimpinan.
Majlis perpisahan rasmi dijangka berlangsung hujung minggu ini di Pangkalan Udara Subang. Jeneral Asghar Khan, yang telah menerajui pelbagai pembaharuan termasuk pemodenan sistem pertahanan udara, menyifatkan persaraannya sebagai satu fasa baharu dalam hidup.
“Saya bangga dapat menyumbang kepada negara melalui TUDM selama empat dekad. Sekarang masa untuk beri laluan kepada generasi baharu,” katanya.
Antara pencapaian penting beliau termasuk inisiatif perolehan pesawat tempur ringan FA-50, pelan latihan bersama negara ASEAN dan pembentukan pelan jangka panjang pemodenan keupayaan radar dan kawalan ruang udara Malaysia.
Jeneral Asghar juga terkenal dengan pendekatan diplomasi pertahanan dalam mewujudkan kerjasama strategik dengan tentera udara negara serantau.
“Beliau meninggalkan legasi yang kukuh dan semangat juang yang tinggi,” kata Leftenan Jeneral (B) Datuk Roslan Sulaiman, bekas Timbalan Panglima TUDM.
Sepanjang LIMA 25 pada Mei yang lalu di Langkaw, Jeneral Asghar menarik perhatian ramai apabila beliau mempamerkan kemahiran dan kepakaran beliau menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi yang popular dengan gelaran ‘Tarok Makto’.