Krisis NSM dan Keperluan Menyusun Semula Strategi Pertahanan Malaysia.

4 September 2026

Dalam satu penerbitan oleh laman sesawang berkaitan pertahanan, military.com bertajuk “The Rise of Defense Self-Reliance” oleh Haley Fuller bertarikh 2 Mac 2026, satu trend global yang dilihat semakin ketara adalah tindakan pelbagai kerajaan di seluruh dunia yang mula meninggalkan pendekatan perolehan pertahanan yang bergantung sepenuhnya kepada pembekal antarabangsa. Peralihan ini bukanlah sesuatu yang bersifat ekonomi dan dipengaruhi oleh faktor kewangan semata-mata. Sebaliknya mempunyai alasan strategik yang sangat kritikal.

Ini termasuklah hubungan dan keupayaan untuk bergantung kepada negara pembekal oleh negara pembeli. Persoalan yang akan muncul antaranya akan berkisar kepada sejauh manakah keyakinan sesebuah negara terhadap ketelusan negara/pihak pembekal, dan adalah wajar untuk sesebuah negara benar-benar bergantung kepada komitmen kontrak sebuah negara pembekal? Adakah lesen eksport yang telah dimeterai secara sah dari sudut undang-undang memadai untuk melindungi kepentingan dan keperluan negara pembeli? Dan yang lebih penting, apakah pengajaran yang wajar diambil oleh Malaysia apabila komitmen sebegini boleh dimansuhkan secara sepihak tanpa penjelasan awal yang mencukupi?

Sebagai pensyarah dan penyelidik undang-undang, saya melihat isu ini merentas kerangka undang-undang dan kewajipan kontrak. Sebaliknya perkara ini turut melibatkan hubungan diplomatik antara negara pembekal dan pembeli, tekanan antarabangsa atau blok ekonomi di sekeliling, serta peranan pihak pelobi yang kebiasaannya sangat dipengaruhi oleh kepentingan politik sesebuah negara besar.

Pengajaran Global: Trend Defence Self-Reliance

Dalam isu terbaharu yang melibatkan kontrak perolehan pertahanan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan syarikat pengeluar dari Norway, kita dapat melihat bagaimana dasar dan keputusan pemerintah Norway yang tidak mengeluarkan permit eksport sekali gus menghalang penghantaran Naval Strike Missile (NSM) yang dibeli oleh Malaysia — sekalipun setelah kita sudah membayar kira-kira 95% daripada harga pembelian — sangat memberi kesan kepada pertahanan dan perancangan strategik negara.

Berpunca daripada isu sebeginilah, jika kita perhatikan, banyak negara dunia kini menjadikan strategi pertahanan, khususnya dalam aspek perolehan aset dan senjata, sebagai satu agenda besar yang memerlukan pemikiran baharu. Dalam Strategi Pertahanan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Januari 2026, dapat diperhatikan bahawa negara tersebut kelihatan cenderung untuk mengutamakan rantaian bekalan yang berdaya tahan dan kapasiti pengeluaran domestik. Negara India pula dilihat memilih pendekatan untuk memperluas keutamaan tempatan menerusi inisiatif ‘Make in India’ dan ‘positive indigenisation lists’ di bawah Defence Acquisition Procedure 2020. Bagi negara Kanada, mereka mengumumkan langkah memperkukuh pengeluaran pertahanan domestik bagi mengurangkan pergantungan kepada Amerika Syarikat.

Fenomena ini digelar sebagai ‘defense industrial resilience’, iaitu kesediaan sesebuah negara untuk terus mengeluarkan, membaik pulih dan mengisi semula sistem persenjataannya tanpa bergantung sepenuhnya kepada rantaian bekalan global yang tunggal, menekan atau rapuh.

Laporan oleh Institute for Defence Studies and Analyses (IDSA), India bertajuk “India’s Quest for Self-Reliance in Defence Sector” menghuraikan bagaimana pengalaman India yang pernah menghadapi kelewatan dan kelemahan akibat perubahan dasar politik pembekal asing seperti Rusia, telah mendorong negara tersebut membangunkan kategori perolehan ‘Buy (Indian-IIDM)’ yang mengutamakan sistem pertahanan reka bentuk dan pengeluaran tempatan.

Perkara yang dahulunya dilihat sebagai senario akademik kini menjadi realiti yang turut menimpa Malaysia. Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat pada 6 Julai 2026 yang lalu telah menghuraikan kronologi isu tersebut. Ia bermula dengan pemeteraian kontrak perolehan NSM bernilai 137.91 juta euro (RM642.6 juta) pada tahun 2018 dan 2023, dan pembayaran hampir 95 peratus daripada nilai kontrak oleh Malaysia telah dibuat dengan teratur.

Krisis NSM dan Ujian Sebenar Pertahanan Malaysia

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang boleh diberikan perhatian. Pertama, ketegasan Menteri Pertahanan yang tidak berkompromi sama sekali dengan keputusan negara Norway tersebut telah menyebabkan Malaysia tanpa ragu-ragu mengemukakan tuntutan bernilai RM1.05 bilion daripada negara Norway. Pendirian Menteri Pertahanan tersebut sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada kita bahawa negara tidak akan mengambil ringan sebarang tindakan yang mengetepikan kontrak antarabangsa.

Malah, kenyataan Menteri Pertahanan yang tidak berkias-kias menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja sebuah negara berdaulat yang harus dihormati dalam sebarang transaksi antarabangsa. Sebaliknya, kita merupakan pihak yang serius dalam memastikan undang-undang perdagangan antarabangsa mestilah bersikap adil, neutral dan tidak dipolitikkan oleh mana-mana negara yang mudah tunduk pada tekanan pihak luar.

Kedua, di sebalik semua cabaran ini, perkara yang lebih penting daripada tuntutan ganti rugi ialah pengajaran strategik yang terkandung dalam episod tersebut. Sejarah pertahanan dunia menunjukkan bahawa krisis kebergantungan seperti ini, walaupun menyakitkan pada peringkat awal, sering menjadi pencetus kepada transformasi besar industri pertahanan sesebuah negara. Namun, perkara tersebut tidak akan bertambah baik dengan sendirinya. Ia mesti diusahakan dengan serius dan strategik. Dalam hal ini, pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) oleh Menteri Pertahanan baru-baru ini boleh menjadi satu permulaan yang baik.

Pengajaran Turkiye, Korea Selatan dan Indonesia

Pengalaman negara seperti Turkiye, Korea Selatan dan Indonesia memperlihatkan satu persamaan yang jelas. Negara-negara tersebut pernah berhadapan pelbagai bentuk kekangan terhadap akses kepada teknologi dan sistem pertahanan. Namun, kekangan tersebut tidak dibiarkan melarat dan mereka menjadikan setiap cabaran tersebut sebagai ruang untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan. Perkara ini dilakukan dengan meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, serta membina keupayaan teknologi sendiri secara berperingkat.

Ke Arah Daya Tahan Industri Pertahanan Negara

Malaysia wajar mengambil iktibar daripada pengalaman tersebut. Krisis NSM tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pembatalan lesen eksport oleh sebuah negara sahabat. Episod ini lebih besar daripada sebuah kontrak yang tergendala. Ia merupakan peringatan bahawa pergantungan kepada satu pembekal bagi sistem persenjataan kritikal seperti surface-to-surface missile mewujudkan risiko strategik yang boleh menjejaskan kesiagaan pertahanan negara.

Pengenalan DIPN, termasuk usaha membangunkan keupayaan pengeluaran roket dan misil tempatan, serta penilaian segera terhadap beberapa original equipment manufacturer (OEM) alternatif, mesti disusuli dengan pelbagai pendekatan lain. Kita tidak boleh sekadar mencari pengganti kepada sistem NSM, sebaliknya negara harus memikirkan langkah-langkah strategik baharu bagi terus memperkukuh daya tahan pertahanan negara dalam jangka panjang.

Pemain-pemain industri tempatan seperti Mildef International Technologies, DEFTECH, SME Aerospace, CTRM dan Lumut Naval Shipyard, di samping agensi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), mesti terus dilonjak dan diposisikan semula. Cabaran sebenar yang harus diuruskan termasuklah mempercepat pemindahan teknologi, meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta memastikan setiap program perolehan strategik menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan melalui pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Industrial Collaboration Programme (ICP). Dengan pendekatan yang konsisten, setiap perolehan pertahanan berperanan sebagai pemangkin pembangunan keupayaan teknologi dan industri strategik negara, di samping memenuhi keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia.

Kesimpulan: Momentum Mesti Dikekalkan

Yang lebih penting, momentum ini perlu dikekalkan walaupun isu NSM akhirnya mungkin menemui penyelesaian. Matlamat sebenar bukan sekadar menyelesaikan pertikaian kontrak atau mendapatkan pampasan, tetapi menjadikan episod ini sebagai titik perubahan kepada pembangunan industri pertahanan negara yang serius, strategik dan bersifat jangka panjang.


Dr. Muhammad Hafiz bin Badarulzaman

Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Undang-Undang,
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

AI dan Kewangan Jadi Subjek Wajib Sekolah Menengah Bermula 2026

PUTRAJAYA, 14 Jun 2025 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan…

Dua Pelajar Malaysia Terpilih Sertai Program Saintis Muda Dunia 2025

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2025 — Dua pelajar cemerlang dari…