ย

AMMAN (Jordan)โ Jordan dan Mesir pada Ahad sekali lagi menegaskan penolakan mereka terhadap usaha untuk menempatkan semula penduduk Palestin. Kenyataan ini dibuat susulan seruan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk “membersihkan” Semenanjung Gaza, menurut laporan Agensi Anadolu (AA).
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, menegaskan bahawa prinsip negaranya tetap kukuh, dan pendirian Jordan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin untuk terus berada di tanah air mereka tidak akan berubah. Beliau berkata demikian dalam sidang media di Amman bersama Sigrid Kaag, Penyelaras Kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Pembinaan Semula untuk Gaza.
Menurut Safadi, pendirian Jordan yang menolak penempatan semula penduduk Palestin adalah satu keputusan yang tegas serta penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini.
“Penyelesaian bagi isu Palestin hanya boleh dicapai di Palestin. Jordan adalah untuk rakyat Jordan, manakala Palestin adalah untuk rakyat Palestin,” tambah beliau.
Safadi turut menyatakan bahawa Jordan bersedia untuk bekerjasama dengan pentadbiran AS dalam mencari jalan bagi mencapai keamanan di rantau tersebut.
Mesir juga turut menolak cadangan Trump yang menggesa pemindahan rakyat Palestin ke luar wilayah mereka.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Mesir menegaskan bahawa negara itu kekal komited dalam menyokong ketahanan rakyat Palestin di tanah mereka serta hak sah mereka terhadap tanah air, sejajar dengan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.
Kenyataan itu turut menegaskan penolakan terhadap sebarang pelanggaran hak-hak Palestin, sama ada melalui peluasan penempatan Israel, pengilhakan tanah, atau pengusiran penduduk Palestin melalui pemindahan secara paksa, sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.
Menurut Mesir, tindakan sebegini boleh mengancam kestabilan rantau ini, meningkatkan risiko konflik serantau, serta menjadi penghalang kepada usaha damai dan keharmonian antara penduduk di kawasan tersebut.
Mesir turut menggesa komuniti antarabangsa untuk mengambil langkah-langkah bagi merealisasikan penyelesaian dua negara, termasuk pembentukan sebuah negara Palestin yang merangkumi perpaduan Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, selaras dengan resolusi antarabangsa serta sempadan 4 Jun 1967.
“Mesir tidak akan menjadi sebahagian daripada sebarang penyelesaian yang melibatkan pemindahan rakyat Palestin ke Sinai,” menurut Kedutaan Mesir di Washington. Kenyataan ini merujuk kepada artikel pendapat oleh Duta Besar Mesir, Motaz Zahran, yang diterbitkan di laman sesawang AS The Hill pada Oktober 2023.