SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan sembilan notis terhadap sebuah taman tema terkenal di bandar ini, berikutan insiden seorang pengunjung cedera akibat ditimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh pada 29 Januari lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, notis yang dikeluarkan termasuk tiga notis amaran pada 14 November 2024 serta satu lagi notis amaran pada 19 Januari lepas.
Notis amaran bertarikh 19 Januari tersebut mengarahkan penghentian segera aktiviti hiburan melibatkan gelongsor air kaca, selaras dengan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 di bawah Seksyen 6(1)(a).
โWalaupun notis telah dikeluarkan, pemantauan lanjut mendapati pihak pengurusan masih meneruskan aktiviti hiburan itu tanpa mendapatkan kelulusan bertulis dan tidak mengendahkan arahan yang telah diberikan.
โOleh itu, pada 30 Januari, MBSA telah mengeluarkan notis kompaun atas kegagalan mematuhi arahan di bawah Seksyen 121 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,โ jelas kenyataan itu.
MBSA menekankan bahawa setiap pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam perlu mematuhi peraturan serta prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, termasuk keperluan mendapatkan kelulusan bertulis sebelum melaksanakan sebarang aktiviti atau pembinaan.
Selain itu, MBSA turut menyatakan rasa kesal terhadap insiden pelampung jatuh yang mencederakan pengunjung dan menjadi tular di media sosial.
โKeselamatan awam adalah keutamaan utama MBSA. Kami komited memastikan pematuhan ketat terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, MBSA akan terus memantau situasi ini dengan lebih teliti serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,โ tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan bahawa seorang pengunjung telah cedera selepas tertimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7 sekitar jam 11 malam pada 29 Januari.
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.