KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan sesuatu kepada umum sebelum melaporkannya kepada agensi penguatkuasaan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau menjelaskan bahawa pemberi maklumat perlu terlebih dahulu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan dan perlindungan hanya diberikan berdasarkan justifikasi tertentu.
“Kalau kita lihat pada Seksyen 6(1) akta yang ada sekarang yang belum dibuat pindaan, bahawa seseorang boleh buat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguat kuasa.
“Pada masa yang sama Subseksyen 7(1) juga menyatakan perlindungan boleh diberikan pada pemberi maklumat apabila pendedahan dibuat pada mana-mana agensi penguatkuasaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanya sama ada pindaan Akta 711 akan mempertimbangkan pengecualian bagi kes yang berkepentingan awam, seperti skandal rasuah di Sabah yang didedahkan melalui video tular, memandangkan undang-undang sedia ada tidak melindungi pendedahan awam.
Merujuk kepada kes tersebut, Azalina menyatakan bahawa pemberi maklumat dalam kes berkenaan tidak dapat dilindungi kerana pendedahan dibuat secara terbuka sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Dalam hubungan ini, pemberi maklumat tidak dapat dilindungi di bawah Subseksyen 7(1). Pada masa sama, tiada cadangan pindaan yang menambah baik Akta 711 bagi melindungi pemberi maklumat yang telah membuat pendedahan kepada umum dan awam.
“Bagaimanapun sekiranya pendedahan dibuat kepada agensi penguat kuasa terlebih dahulu, pemberi maklumat layak untuk dilindungi. Agensi penguat kuasa akan menilai sama ada maklumat itu dilihat sebagai satu keperluan atau tidak.
“Kita (pemberi maklumat) pergi kepada public domain kemudian kita nak mendapat perlindungan, sebab kadang-kadang pemberi maklumat juga tidak mempunyai niat baik,” katanya.
Mengenai status pindaan Akta 711, Azalina memaklumkan bahawa lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan serta enam sesi libat urus telah diadakan bersama pihak berkepentingan untuk meneliti semula akta berkenaan.
Antara pihak yang terlibat dalam memberikan pandangan ialah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Rasuah Busters, Transparency International, Majlis Peguam serta CSO Platform for Reform.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa cadangan dasar sedang dikaji untuk dipertimbangkan oleh Kabinet, termasuk pengenalan skala ganjaran standard bagi memudahkan pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat serta peluasan perlindungan fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal BERNAMA.