“Teruskan Bermimpi” – Ahmad Zahid Tolak Cadangan PN Tubuh Kerajaan Perak Bersama UMNO

25 April 2025

TAPAH, 25 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan negeri Perak bersama UMNO, sambil menyifatkan ia sebagai angan-angan kosong.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, PN mungkin menyedari penurunan sokongan mereka di Ayer Kuning, justeru mencetuskan cadangan tersebut. Namun menurutnya, langkah sebegitu tidak perlu kerana Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mentadbir negeri.

Timbalan Perdana Menteri itu turut yakin bahawa di bawah kepimpinan Saarani, segala cabaran pembangunan dan keperluan rakyat akan terus ditangani dengan berkesan.

“Cadangan (kerjasama UMNO dengan PN) ini lebih baik jika dikemukakan dahulu. Tapi ia hanya muncul di Ayer Kuning – sekarang pun dah pukul 12.30 tengah hari – kalau mimpi pun mungkin baru mimpi siang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Santuni Kasih Syawal bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kroh, hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata isu ladang babi di Perak, khususnya di Ayer Kuning, boleh diselesaikan sekiranya UMNO bergabung dengan PN untuk membentuk kerajaan negeri.

Mengulas isu nasional yang sering dibangkitkan oleh PN dalam kempen mereka, Ahmad Zahid menyatakan bahawa masalah-masalah tersebut tidak lagi relevan kerana setiap isu tempatan telah pun diselesaikan, seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil Nenggiri (Kelantan) dan Mahkota (Johor).

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyebut nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset UMNO.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Dr Mahathir menafikan tuduhan bahawa beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab berkaitan aset UMNO.

Pilihan raya kecil DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari.

PRK ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon PN, Abd Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian berlangsung esok.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Jordan dan Mesir Bertegas Tolak Penempatan Semula Rakyat Palestin

  AMMAN (Jordan)– Jordan dan Mesir pada Ahad sekali…

Siri 1: Berhujah Bukan Bertengkar

Dalam dunia yang semakin sarat dengan pertelingkahan politik, perbezaan ideologi,…