IPOH – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, mengakui telah melakukan kesilapan apabila mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dengan syarikat konglomerat YTL.
Tular sebuah video berdurasi 19 saat yang memaparkan ucapan Razman dalam Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit pada Ahad, di mana beliau menyebut Hannah sebagai ‘anak YTL’.
Razman, dalam satu kenyataan pada Isnin, mengakui bahawa beliau tersilap fakta mengenai kaitan Hannah Yeoh dengan syarikat gergasi YTL.
“Saya mengakui kesilapan fakta mengenai kaitan Hannah Yeoh dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Saya ingin menjelaskan bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan YTL. Ia adalah kesilapan kod yang berlaku tanpa disengajakan,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Razman turut melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa portal berita yang lebih menekankan kesilapannya berbanding kejayaan program anjuran Pas.
“Pemberitaan itu memetik ucapan saya yang berdurasi kurang 10 saat daripada keseluruhan ceramah lebih 30 minit.
“Program Gerak Muafakat Ummah adalah program tiga hari yang melibatkan tiga sayap utama Pas dengan kehadiran lebih 5,000 peserta. Ucapan saya yang dipetik bukan isi utama ceramah, tambahan pula program tersebut turut menampilkan tiga tokoh utama,” tambah Razman.
Beliau berharap dengan penjelasan ini, isu tersebut dapat difahami dengan jelas.
“Saya ingin menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada Hannah Yeoh, YTL, serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kekeliruan fakta yang berlaku.
“Saya juga berharap pemberitaan lebih memberi tumpuan kepada meningkatkan daya intelektual rakyat, bukan membangkitkan permusuhan sesama rakyat,” katanya lagi.
Sebelum ini, laporan media menyebut bahawa Razman mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan Hannah Yeoh dan YTL. Dalam ucapan beliau, Razman menyatakan:
“Hannah Yeoh anak orang kaya, anak YTL. YTL ini dulu Perak Hanjoong.
“Kecerdikan UMNO dulu, minta maaflah, kecerdikan UMNO dulu pergi jual Perak Hanjoong ini kepada YTL. Hannah Yeoh ini anak dialah,” katanya.
Carian mendapati bahawa Kumpulan YTL diasaskan oleh mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Kenyataan tersebut mendapat reaksi daripada Hannah Yeoh, yang membidas Razman sambil mengingatkan Pas bahawa tidak semua individu bernama Yeoh berkaitan dengan YTL.
“Pas needs to know not all Yeohs are related,” kata Hannah menerusi akaun X pada Isnin.
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal- Sinar