KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pemain industri yang menghadiri acara Tahun Baru Cina ACCIM hari ini bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025 tidak akan memberi tekanan atau merugikan komuniti perniagaan.
Beliau turut menekankan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus dilindungi daripada kesan semakan tarif yang dijadualkan untuk separuh kedua tahun 2025.
Ketika ini, lebih 85 peratus isi rumah menerima subsidi elektrik daripada Kerajaan.
Untuk makluman, tarif asas elektrik di Malaysia ditentukan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.
Selain itu, terdapat mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang disemak setiap enam bulan untuk menyesuaikan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.
Pada Januari 2025, TNB mengumumkan bahawa Kerajaan telah meluluskan kenaikan tarif asas sebanyak 14.2% bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Namun begitu, Kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik sedia ada bagi industri dan isi rumah untuk separuh pertama 2025, memastikan tiada perubahan dalam kadar yang dikenakan. Semakan tarif seterusnya dijadualkan pada Julai 2025.
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.- MalaysiaGazette