KUALA LUMPUR, 21 April – Paus Francis, Ketua Gereja Roman Katolik yang meninggal dunia hari ini, akan dikenang sebagai tokoh penting dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan, belas kasihan, dan keadilan dalam dunia yang penuh cabaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan di Facebook, Anwar menyifatkan Paus Francis bukan sahaja sebagai paus pertama dari Selatan Global, malah dikenali atas perjuangannya dalam memperkukuh hubungan antara agama, memelihara alam sekitar dan membela mereka yang tertindas.
“Paus Francis ialah pendukung kuat usaha keamanan dan tindakan beliau dalam merapatkan jurang antara agama serta budaya telah meraih penghormatan ramai termasuk komuniti Islam.
“Beliau bersuara lantang dengan moral yang jelas mengenai penderitaan di Gaza dan menyeru dunia supaya menunjukkan belas kasihan terhadap semua mangsa keganasan, tanpa mengira lokasi mereka,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut menambah bahawa Paus Francis sentiasa memperjuangkan hak pelarian dan pendatang serta menggesa masyarakat dunia untuk melayan mereka dengan berperikemanusiaan dan penuh kesedaran.
Anwar turut berkongsi penghormatan peribadinya kerana pernah bertemu dengan Paus Francis di Vatican dan menyampaikan ucapan takziah atas pemergian beliau.
“Saya amat sedih atas kehilangan Yang Mulia Paus Francis. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada Holy See dan komuniti Katolik di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Semoga legasi beliau berkekalan,” ujar beliau.
Paus Francis menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun dan telah lama berdepan dengan masalah kesihatan termasuk asma dan trombositopenia.