PUTRAJAYA, 11 Feb– Malaysia dan Turkiye telah menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor utama. MoU tersebut dimeterai sempena lawatan rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia dari 10 hingga 11 Feb.
Kesemua dokumen perjanjian itu ditandatangani dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Erdogan. Bidang utama yang menjadi fokus dalam perjanjian ini merangkumi peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan, serta kerjasama dalam sektor media.
Antara perjanjian penting ialah MoU berkaitan peralihan tenaga yang dimeterai antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadilah Yusof dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye, Alparslan Bayraktar.

Dalam aspek pengurusan bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menandatangani MoU dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD). Selain itu, kedua-dua negara turut menjalinkan perjanjian dalam bidang latihan diplomatik.
Kerjasama dalam penyelidikan saintifik juga diperkukuh melalui pertukaran MoU antara Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan Malaysia dengan Institut Penyelidikan Kutub Turkiye di bawah Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi (TUBITAK) yang memberi tumpuan kepada kajian Antartika dan Artik.
Bagi sektor pertahanan, dua perjanjian utama telah ditandatangani. Perjanjian pertama melibatkan perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) serta pembentukan Jawatankuasa Bersama bagi Produk Pertahanan, yang dimeterai antara Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Prof Aluk Gorgun.
Perjanjian kedua dalam sektor pertahanan berkaitan sistem komunikasi strategik, yang ditandatangani antara Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.
Selain itu, MoU turut ditandatangani antara Selangor Aviation and Technology Innovation Sdn Bhd dengan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye dalam pembangunan bandar pintar, sistem trafik, dan keselamatan. Perjanjian ini disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam sektor perdagangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia memeterai MoU dengan Kementerian Perdagangan Turkiye, dengan tumpuan kepada perlindungan pengguna, pemantauan pasaran, dan pemeriksaan.
Selain itu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia turut menandatangani perjanjian dengan Desan Shipyard dari Turkiye bagi perolehan kapal misi pelbagai guna untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam bidang media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menandatangani MoU dengan Radio and Television Supreme Council (RTUK) Turkiye bagi meningkatkan kerjasama dalam perkhidmatan media audiovisual.
Di samping itu, Bernama dan Anadolu Ajansi juga telah memeterai perjanjian bagi memperkukuh perkongsian dalam penyebaran maklumat dan komunikasi antara kedua-dua negara.
MoU yang dimeterai ini mencerminkan hubungan semakin erat antara Malaysia dan Turkiye, serta memperlihatkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama strategik, ekonomi, dan budaya.
Pada tahun 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama, serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Turkiye pada tahun 2024 mencatatkan nilai RM24.13 bilion (USD5.28 bilion), menunjukkan peningkatan 18.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.