KUALA NERUS โ Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berjaya menundukkan Terengganu FC (TFC) 2-1 di halaman lawan untuk meraih tiga mata berharga dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.
Dengan kemenangan ini, The City Boys naik satu tangga ke kedudukan keenam dalam carta Liga Super dengan 24 mata daripada 18 perlawanan.
Perlawanan bermula perlahan tanpa percubaan berbahaya daripada kedua-dua pasukan dalam tempoh 10 minit pertama. Namun, aksi mula rancak selepas itu apabila pasukan tuan rumah yang dibimbing Badrul Afzan Razali membuka jaringan pertama menerusi pemain pertahanan muda, Muhammad Safwan Mazlan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pelawat mula melancarkan siri serangan dan hampir mendapat peluang pertama melalui Jovan Motika, tetapi tandukannya sedikit tinggi melepasi palang gol.
Tidak mahu kalah, pasukan tuan rumah menggandakan usaha dan berpeluang menambah gol pada minit ke-21, namun percubaan Nelson Bonilla berjaya diselamatkan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang berwaspada di depan gawang.
Ketika permainan hampir memasuki waktu rehat, skuad kendalian Miroslav Kuljanac berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan melambung oleh ketua pasukan, Paolo Josue.
Selepas rehat, TFC memperhebatkan serangan mereka dan kelihatan sebagai pasukan yang berpotensi mencipta kemenangan, namun The City Boys mempunyai rancangan lain untuk menggagalkan usaha lawan.
Detik penentu tiba pada minit ke-79 apabila Patrick Reichelt menyempurnakan satu gerakan cantik untuk memberikan tiga mata penuh kepada KL City FC. Namun, mereka terpaksa menunggu beberapa detik tegang sebelum Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan jaringan tersebut walaupun pengadil garisan pada awalnya mengangkat bendera kerana offside.
Walaupun TFC mencipta beberapa percubaan berbahaya selepas itu, keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan. Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan KL City FC yang bertahan dengan baik dan tidak memberikan ruang kepada pihak lawan.