TANJONG MALIM – Kira-kira 100 pegawai media dan pengurus acara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Bengkel Pemantapan Profesionalisme: Event Executive, U-Media dan Pegawai Media Baharu UPSI 2025, anjuran Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) selama dua hari di Hotel Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah bermula 13 hingga 14 Ogos lalu.
Pengarah BKK, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril berkata, bengkel itu memberi fokus kepada peningkatan kemahiran komunikasi, pengurusan acara dan penghasilan kandungan digital bagi memastikan penyampaian maklumat universiti lebih berkesan dan berimpak.
“Bengkel ini dirangka untuk memperkukuh kompetensi pegawai media dan event executive agar setiap program universiti dapat disampaikan secara kreatif, tersusun dan memberi kesan positif kepada khalayak.
Beliau berkata, selain memperkukuh kemahiran teknikal, bengkel itu memberi penekanan terhadap pemahaman prosedur operasi standard (SOP), etika kerja dan protokol rasmi yang menjadi teras komunikasi korporat UPSI.

“Kami mahu semua pegawai media UPSI mampu menghasilkan liputan berita, penggambaran dan pengurusan acara yang memenuhi standard profesional, sekali gus mengangkat reputasi universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sepanjang dua hari penganjuran, peserta mengikuti modul merangkumi penulisan berita, pengurusan siaran media, teknik fotografi dan videografi, pengurusan acara berskala besar serta penggunaan teknologi digital untuk penyampaian maklumat yang pantas dan tepat.
“Peserta bukan sahaja diberikan teori, malah dilatih secara praktikal melalui simulasi penyediaan penulisan berita, penghasilan video pendek dan pengurusan majlis.
Profesor Dr. Mohd Izwan turut berharap semua peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh sebagai penggerak utama dalam memperkukuh imej positif UPSI.
“Profesionalisme media bukan hanya melibatkan kemahiran teknikal, tetapi juga disiplin, integriti dan kepekaan terhadap nilai murni dalam penyampaian maklumat.

“Penganjuran bengkel ini sekali lagi membuktikan komitmen UPSI untuk melahirkan tenaga kerja media yang berkemahiran tinggi, profesional dan berdaya saing di pelbagai platform komunikasi,” ujar beliau.
Bengkel itu menampilkan penceramah terdiri dari kakitangan BKK UPSI iaitu Marini Masdar, Dr. Ghazali Din, Ramli Mosmin, Shahran Daud, Bazli Razak, Redzuan Shah Datu Sahadun dan Fisol Ahmad, yang berkongsi topik berkaitan pengurusan acara kreatif, strategi komunikasi digital, pembangunan naratif berita dan fotografi profesional.