Penduduk Diingatkan Berhati-Hati, Buaya Dikesan di Pantai Cermin

2 Februari 2025
Perhilitan menerima aduan awam berkenaan seekor buaya yang kelihatan di kawasan Monkey Bay, Pantai Cermin pada kira-kira 4.30 petang semalam. - Gambar hiasan

PORT DICKSON: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika beraktiviti di Pantai Cermin susulan penampakan seekor buaya di kawasan tersebut sejak semalam.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kehadiran buaya di sekitar Monkey Bay, Pantai Cermin, sekitar jam 4.30 petang semalam.

Pantai Cermin; Sumber: visitmalaysia.info

“Sebaik menerima laporan, pasukan Perhilitan segera ke lokasi untuk menjalankan siasatan. Hasil pemeriksaan awal mendapati memang terdapat seekor buaya dengan anggaran panjang dua meter terapung di laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa reptilia itu dikesan bergerak sejauh kira-kira 50 meter dan berulang-alik di kawasan sama sejak malam sebelumnya. “Apabila air surut, haiwan ini lebih mudah kelihatan,” tambahnya.

Menurut Faizal Izham, pemantauan berterusan akan dijalankan di lokasi berkenaan bagi memastikan keselamatan orang awam. “Jika keadaan sesuai, kita akan cuba memasang perangkap di kawasan bakau kerana pada waktu malam, buaya ini cenderung bergerak ke situ,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan buaya itu, serta segera melaporkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan atau pihak berkuasa berkaitan.

Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.- Bernama

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

20 Warga Gaza Tewas Ketika Trak Bantuan Terbalik – Gelombang Trauma Dalam Krisis Kemanusiaan Berterusan

Gaza, 6 Ogos 2025 – Sekurang-kurangnya 20 warga Palestin maut…

Iran Berisiko Digantung Daripada Piala Dunia 2026 Akibat Ketegangan Serantau

TEHRAN / NEW YORK, 24 Jun 2025 – Ketegangan geopolitik…