NARATHIWAT, 23 Feb – Bekas Perdana Menteri Thailand yang juga penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN, Thaksin Shinawatra, hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke tiga wilayah selatan Thailand dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan di kawasan berkenaan.
Thaksin berkata, lawatan ini dibuat susulan perbincangannya baru-baru ini dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN serta Anwar memberi keutamaan kepada usaha mencapai keamanan di wilayah selatan Thailand.
“Maka hari ini, saya turun untuk melihat sendiri keadaan di sini, meneliti isu-isu yang ada dan mendengar suara rakyat,” katanya kepada media tempatan.
Terdahulu, Thaksin tiba di lapangan terbang di sini bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai, serta Menteri Keadilan, Tawee Sodsong. Ketibaan mereka disambut oleh Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Wan Muhammad Noor Matha.
Thaksin menegaskan bahawa sebagai penasihat tidak rasmi Pengerusi ASEAN, beliau komited untuk mencari penyelesaian konflik di wilayah berkenaan dan percaya bahawa rundingan merupakan langkah terbaik.
Beliau turut berharap agar rundingan terus diadakan di semua peringkat bagi mencapai kedamaian yang berpanjangan.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertamanya ke wilayah selatan Thailand sejak dilantik sebagai penasihat tidak rasmi Pengerusi ASEAN, serta kali pertama beliau kembali ke kawasan itu selepas lebih dua dekad sejak pemerintahannya digulingkan pada 2006.