SPRM Panggil 18 Lagi Individu untuk Siasatan Kes Op Sky

9 Februari 2025
Sumber: Portal Rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 18 individu tambahan bagi memberikan keterangan dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan dalam operasi Op Sky.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa setakat ini, seramai 39 individu telah direkodkan keterangan mereka bagi membantu siasatan.

“Seramai 18 individu yang telah dikenal pasti akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam menjelaskan bahawa siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan memerlukan lebih banyak masa sebelum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa institusi perbankan bagi mendapatkan dokumen berkaitan pinjaman yang melibatkan pelanggan yang telah dikenalpasti.

Pada Jumaat lalu, SPRM telah mengambil keterangan daripada tiga selebriti yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan tersebut. Mereka dipercayai menerima bayaran sehingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun untuk menjadi duta syarikat bagi tujuan promosi.

Dalam operasi Op Sky yang dijalankan pada Januari lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Operasi yang dikendalikan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu telah membawa kepada penahanan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi sekitar Lembah Klang, termasuk kediaman dan pejabat.

Setakat ini, seramai 27 individu telah ditahan, terdiri daripada 18 pegawai bank, lapan kakitangan syarikat perunding kewangan, serta seorang orang awam. Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank yang melibatkan lebih RM17 juta.

–BERNAMA

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Mengapa Amerika Syarikat Mensasarkan Venezuela? Dari Tekanan Ekonomi ke Penangkapan Presiden Maduro

Penangkapan Presiden Venezuela Nicolás Maduro oleh Amerika Syarikat menandakan eskalasi…

Kerajaan Pertimbang Naikkan Cukai Tembakau Sebagai Langkah Kesihatan Awam

PUTRAJAYA, 8 Ogos 2025 – Kerajaan sedang mempertimbang untuk menaikkan…