PM Arah KPDN Pastikan Bekalan Barang Keperluan Cukup Sepanjang Ramadan dan Aidilfitri

5 Mac 2025
Sumber: Bernama

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri turut mengarahkan KPDN untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Ops Pantau 2025.

“Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.

“Selain itu, Perdana Menteri mahu strategi intervensi segera dilaksanakan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul turut menyatakan bahawa Perdana Menteri mahu KPDN bertindak lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan kerajaan. Ini termasuklah barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain itu, Anwar juga mengarahkan pemantauan lebih ketat terhadap harga makanan di Bazar Ramadan bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.

“YAB Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan untuk meninjau secara langsung harga serta kualiti makanan, di samping memberikan sokongan kepada para peniaga kecil.

“Beliau juga mengarahkan supaya Program Jualan Rahmah Madani diperbanyakkan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Krisis Global: Jepun, Nepal & Perancis – Tiga Kerajaan Runtuh dalam Seminggu

Dalam tempoh hanya beberapa hari, tiga kerajaan di benua berbeza…

Microsoft Lancar Wilayah Awan & Teknologi AI di Malaysia

CYBERJAYA, 11 Jun 2025 – Microsoft hari ini melancarkan pusat…