KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa pada Ahad.
Menurut laporan Awani, dalam mesej yang dihantar kepada pihak pengurusan universiti, Mohd Ekhwan menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui UKM bersama barisan pengurusan utama.
โSaya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi yang memberi peluang kepada saya untuk menerajui UKM hingga ke tahap ini. Saya juga mendoakan UKM terus cemerlang pada masa akan datang,โ katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memohon maaf kepada seluruh warga UKM atas sebarang kesilapan yang mungkin berlaku sepanjang tempoh kepimpinannya.
โSaya mohon kemaafan kepada semua pengurusan utama, pengurusan tertinggi dan warga UKM atas segala salah dan khilaf saya sepanjang mengetuai universiti ini.
โTerima kasih atas segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan di mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah pun dibuat.
โAlhamdulillah. Saya dengan ini menarik diri dari segala WhatsApp rasmi universiti,โ ujarnya tanpa memberikan perincian lanjut.
Dalam satu kenyataan, UKM turut merakamkan penghargaan terhadap khidmat bakti dan sumbangan Mohd Ekhwan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
Beliau dilantik sebagai Naib Canselor pada 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.
Mohd Ekhwan, 56, merupakan graduan UKM pada 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal) di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Beliau kemudian memperoleh Sarjana (MSc) dari University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS), dan Pengurusan Sumber Air
Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan) di Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT serta memegang jawatan akademik dan pentadbiran lain seperti Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Artikel ini telah disunting daripada sumber asal.-Harian Metro