Malaysia dan Turkiye Jalin Kerjasama Strategik dalam AI dan Kecerdasan Kuantum

11 Februari 2025

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Malaysia melangkah ke fasa baharu dalam inovasi teknologi dengan menjalin kerjasama penting bersama Turkiye dalam bidang kecerdasan kuantum.

Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak yang ditandatangani semasa Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye di ibu negara melibatkan MIMOS Bhd (Malaysia), HAVELSAN (Turkiye) dan TechInsight Sdn Bhd (Malaysia). MoU ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Menurut kenyataan MIMOS, inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia sebagai Negara Digital, sejajar dengan visi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berhasrat menjadikan Malaysia peneraju dalam teknologi canggih, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan kuantum.

MoU ini membentuk asas kukuh untuk pembangunan Infrastruktur Kecerdasan Kuantum melalui gabungan kepakaran HAVELSAN, MIMOS dan TechInsight bagi memacu kemajuan AI dan kecerdasan kuantum.

β€œDi bawah kerjasama ini, TechInsight akan bertindak sebagai rakan strategik dalam aspek komersialisasi, memastikan pelaksanaan Perkhidmatan Infrastruktur Kecerdasan Kuantum dalam pelbagai sektor industri,” menurut kenyataan tersebut.

Sumber: Bernama

Kerjasama ini memberi fokus kepada penilaian strategik, perkongsian sumber, model tadbir urus, serta rangka kerja operasi berskala bagi memastikan integrasi AI dan kecerdasan kuantum dapat memperkukuh daya tahan teknologi serta daya saing ekonomi.

Sebagai agensi di bawah MOSTI, MIMOS memastikan kerjasama ini selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, yang bertujuan mempercepat penggunaan teknologi berimpak tinggi dan memperkukuh ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Dr Saat Shukri Embong berkata, β€œDi bawah kepimpinan MOSTI, MIMOS terus menerajui penyelidikan berteknologi tinggi dalam AI dan kecerdasan kuantum, memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi global.”

Ketua Pegawai Eksekutif HAVELSAN, Dr Mehmet Akif Nacar pula menegaskan kepentingan kerjasama antara kedua-dua negara dalam membentuk masa depan infrastruktur kecerdasan.

β€œHAVELSAN komited untuk menerajui penyelesaian teknologi yang melangkaui batas inovasi. Melalui kerjasama dengan MIMOS dan TechInsight, kami memastikan kemajuan AI dan kecerdasan kuantum diintegrasikan dengan lancar ke dalam infrastruktur kritikal, sekali gus membuka laluan ke arah masa depan yang lebih pintar dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan TechInsight, Syed Sirajudeen Omer menyatakan komitmen syarikatnya untuk berada di barisan hadapan dalam evolusi teknologi, memastikan kecerdasan kuantum, AI dan teknologi lain diaplikasikan dalam penyelesaian dunia sebenar.

β€œKerjasama ini membolehkan kami meneroka aplikasi inovatif dan membina infrastruktur kecerdasan yang kukuh untuk masa depan,” tambahnya.

Kerjasama strategik antara HAVELSAN, MIMOS dan TechInsight ini dijangka membawa revolusi dalam industri teknologi global melalui pembangunan penyelesaian infrastruktur kecerdasan berskala yang mampu menangani cabaran dunia nyata.

Dengan AI dan kecerdasan kuantum sebagai asas utama inisiatif ini, ia berpotensi membuka pelbagai peluang dalam sektor pertahanan, keselamatan, telekomunikasi, bandar pintar dan banyak lagi.

Don't Miss

PLKN 3.0 Kembali: Latihan Asas Ketenteraan & Kenegaraan Jadi Fokus

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal…

Tiada kompromi ancaman konflik serantau, siap siaga pertahan negara

Ketika menyampaikan syarahan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di…

RTM Nafi Unsur LGBT Dalam Animasi Santiago of the Seas, Henti Sementara Siaran Untuk Semakan

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menegaskan bahawa siri animasi kanak-kanak Santiago…