GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang sebelum ini dalam keadaan kritikal akibat dipercayai tercekik gula-gula jenis gummy, telah meninggal dunia malam tadi.
Berita duka itu disahkan oleh ibu saudaranya, Siti Farhani Muhammad Fikri, 33.
Ketika dihubungi, Siti Farhani memaklumkan bahawa Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin meninggal dunia sekitar jam 11 malam semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) di Hospital Pulau Pinang.
“Saya dimaklumkan oleh ibu Mohammad Fahmi Hafiz, yang mangsa telah meninggal dunia sebentar tadi dan jenazah akan dikebumikan di kampung neneknya di Permatang Binjai selepas selesai urusan di hospital nanti,” katanya.
Pada 19 Febuari yang lalu , media melaporkan bahawa seorang murid Tahun Empat dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth, dalam keadaan kritikal dan dirawat di PICU selepas dipercayai tercekik gula-gula gummy yang dibelinya di luar kawasan sekolah.
Difahamkan, Mohammad Fahmi Hafiz membeli dua biji gula-gula tersebut sebelum menghadiri sesi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada jam 2.30 petang.