KUALA LUMPUR, 6 Mac — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri serta perwakilan asing di Istana Negara, malam ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beberapa Jemaah Menteri yang turut serta dalam majlis itu termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, bersama beberapa timbalan menteri.
Majlis berbuka puasa ini juga dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. Selain itu, perwakilan asing dari Qatar, Bahrain, Mesir, Indonesia, Palestin, Brunei, Turkiye, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut hadir.
Sejurus selepas berbuka, Seri Paduka Baginda menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah bersama para tetamu di Surau Utama Istana Negara. Solat tersebut dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
— BERNAMA