MELAKA β Seorang penyanyi sambilan yang juga ibu kepada tiga anak ditemui mati dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di sebuah rumah sewa di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Pokok Mangga, pagi Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi, mangsa yang berusia 52 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam bilik sewa rumah teres dua tingkat itu. Difahamkan, mangsa telah tinggal bersama kekasihnya di rumah tersebut sejak lima bulan lalu.
Menurut seorang teman serumah yang enggan dikenali, dia menyedari bahawa mangsa dan suspek tidak keluar dari bilik sejak Jumaat lalu. Pada malam Sabtu, dia turut terdengar suara seperti seseorang sedang menahan kesakitan, namun tidak mengesyaki sebarang perkara buruk.

Sumber: Sinar Harian
Bagaimanapun, pada pagi Ahad, dia mula berasa curiga apabila pasangan tersebut masih belum keluar dari bilik. Dia kemudian mengetuk pintu bilik sebelum suspek membukanya sedikit.
βNamun lelaki itu hanya membuka pintu sedikit sahaja, dan keadaan dalam bilik agak gelap kerana tingkap ditutupi langsir.
βSaya tidak dapat melihat dengan jelas, tetapi sempat ternampak mangsa terbaring di atas katil. Suspek pula mengatakan bahawa mangsa sedang tidur,β katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Berasa tidak sedap hati, dia menghubungi seorang lagi rakan mangsa yang sering membantu menghantarnya ke tempat nyanyian. Rakan tersebut kemudian membuat panggilan kepada pihak polis.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati kehadiran Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.
Bagaimanapun, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden ini.
Menurut sumber, polis menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah di atas katil, manakala suspek berada berhampiran dengan kesan kecederaan. Turut ditemukan di lokasi kejadian adalah dua bilah pisau kecil yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat, sementara suspek yang cedera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.